Lagi kes positif babit pelajar tahfiz di Perak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Satu lagi kes positif koronavirus (Covid-19) membabitkan pelajar sekolah tahfiz dikesan di Perak hari ini.

Pengarah Kesihatan Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, kes tersebut melibat seorang pelajar sebuah sekolah tahfiz di Sungai Besar, Selangor yang menetap di daerah Hilir Perak.

Katanya, pihak Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sabak Bernam, Selangor telah memaklumkan kepada pihak PKD Hilir Perak mengenai keputusan ujian positif Reverse Transcriptase - Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) Covid-19 ke atas pelajar terbabit.

"Saringan yang dilakukan merupakan sebahagian daripada aktiviti saringan bersasar dalam kalangan pelajar sekolah tahfiz di seluruh negara.

"Pihak PKD Hilir Perak masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan," katanya dalam kenyataan media menerusi aplikasi WhatsApp hari ini.

Lay Ming berkata, kes tersebut tidak menunjukkan sebarang gejala namun pelajar telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

Menurutnya, semua kontak rapat kes juga telah diasingkan bagi tujuan pengawasan.

Beliau berkata, kes terakhir dikesan di mukim tempat tinggal kes di Hilir Perak adalah pada 12 April 2020

Artikel Berkaitan:

Terdahulu dalam sidang akhbar harian hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sebanyak tujuh negeri termasuk Perak merekodkan kes baharu positif wabak Covid-19 dengan keseluruhan 15 kes.

ARTIKEL BERKAITAN Tujuh negeri catat kes baharu Covid-19

Menurutnya, kesemua kes yang dilaporkan itu adalah penularan tempatan yang melibatkan rakyat Malaysia.

Pada 30 Mei lalu, satu kes terbaharu dicatatkan melibatkan pelajar tahfiz positif Covid-19 di Perak yang dikesan di Mukim Sungai Terap, Batu Gajah.

Kes berkenaan turut dikesan susulan daripada aktiviti saringan bersasar bagi pelajar tahfiz.