Najib tidak akan bantu Muhyiddin kekal PM jika masuk penjara: Tun M

Dr Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak akan bekerja keras untuk membantu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri sekiranya beliau dipenjarakan akibat kes mahkamah.

Perkara itu dinyatakan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata bahawa Najib bercita-cita ingin menjadi Perdana Menteri sekali lagi dan tidak terbatas sekadar terlepas hukuman penjara.

Dr Mahathir yang mendakwa masih memegang jawatan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, Najib juga tidak mungkin menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri jika beliau tahu akan dipenjara kelak.

"Satu perkara yang pasti, Najib tidak akan bekerja keras untuk menjadikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri jika dia akan dipenjara.

"Dia tidak akan membiarkan Muhyiddin jadi Perdana Menteri dan dia masuk penjara. Dia tidak mahu masuk penjara.

"Sekiranya dia mempunyai Perdana Menteri yang 'jinak' yang dia boleh pengaruhi, dia mungkin terlepas daripada hukuman penjara," kata Dr Mahathir dalam satu wawancara khas bersama South China Morning Post (SCMP) kelmarin.

Beliau berkata demikian susulan terdapat spekulasi mengatakan Muhyiddin sedang bersiap sedia mengadakan pilihan raya mengejut dalam masa terdekat.

Beliau turut memetik keputusan pihak pendakwaan menggugurkan kes rasuah terhadap anak tiri Najib, Riza Shahriz Abdul Aziz yang turut terkait dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman.

Artikel Berkaitan:

"Mereka akan berikan segala alasan. Dalam kes Najib, (ada kemungkinan alasan) dia adalah mangsa penipuan Jho Low.

"Itu salah Jho Low, bukan Najib dan kita dapati dia tidak bersalah. Apabila dia tidak bersalah, dia akan layak bertanding, bahkan menjadi Perdana Menteri.

"Masa itu, saya rasa dia (Najib) tidak akan mendukung Muhyiddin sebagai Perdana Menteri," katanya.

Dalam wawancara bersama SCMP itu juga, Mahathir turut tidak yakin semua orang akan marah dengan kemunculan semula Najib.

"Dia telah sampai ke tahap mana dia dapat mengatakan, 'ya, saya mencuri wang tetapi saya adalah bos anda, jadi tidak apa-apa' kerana dia adalah Perdana Menteri Muslim Melayu walaupun dia telah mencuri wang," ujarnya.