Tidak perlu ujian PCR sebelum berlepas ke Sarawak bagi warga tempatan

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Orang ramai kini boleh memasuki Sarawak seperti biasa tanpa perlu memohon kebenaran Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak bagi pergerakan rentas negeri dan menjalani ujian saringan Covid-19 (PCR) sebelum berlepas ke negeri itu.

Kebenaran itu adalah untuk rakyat Malaysia sahaja, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Namun mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk memuat turun aplikasi MySejahtera dan mengisi borang deklarasi kesihatan.

“Sampel PCR juga akan diambil secara rambang setelah tiba di pintu masuk utama negeri (udara, darat dan laut), dan mereka dinasihat memuat turun aplikasi ‘Covid Trace Sarawak’ dan ‘Qmunity’,” katanya pada sidang media harian hari ini.

Pergerakan rentas negeri ke Sarawak dari Semenanjung, Sabah dan Labuan sebelum ini perlu mendapat kebenaran Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak selain mengambil sampel PCR bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Sementara itu, Ismail Sabri mengingatkan individu yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, iaitu kuarantin di dalam bilik yang diasingkan bagi tempoh 14 hari.

Jelasnya, sekiranya didapati terdapat individu mengingkari arahan tersebut, mereka akan berdepan kompaun RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah.

“Sebenarnya proses kuarantin wajib ini mereka sepatutnya berada di dalam bilik yang diasingkan dan tidak boleh berlegar-legar dalam rumah, kerana dikhuatiri akan menjangkiti orang lain.

Artikel Berkaitan:

“Individu yang menjalani kuarantin itu perlu berada dalam bilik sendiri, makan di dalam bilik. Itu sebenarnya kuarantin di rumah, bukan boleh keluar tengok televisyen bersama ahli keluarga yang lain di ruang tamu, sebab walaupun negatif, pada hari ke-13 mereka akan disaring sekali lagi,” katanya.

Beliau berkata, seramai 478 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dari Singapura, UAE, China, Bangladesh, Hong Kong, Mesir, India, Indonesia dan Brunei semalam.

Daripada jumlah tersebut, seramai 475 individu telah diperintah untuk menjalani proses kuarantin wajib di kediaman mereka, manakala tiga individu lagi dihantar ke hospital.

“270 individu juga telah tiba melalui pintu masuk di negeri Johor dan telah diperintahkan untuk menjalani kuarantin di rumah,” katanya. - Bernama