Keselamatan di Kluang terkawal tujuh tahun berturut-turut

Mohd Abduh (tiga, kanan) melihat orang awam yang membuat semakan saman di IPD Kluang.
Mohd Abduh (tiga, kanan) melihat orang awam yang membuat semakan saman di IPD Kluang.
A
A
A

KLUANG - Keselamatan dan ketenteraman awam di Kluang berada dalam keadaan aman, stabil dan terkawal bagi tempoh tujuh tahun berturut-turut bermula dari 2012 hingga 2018.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, jika dilihat daripada pencapaian keseluruhan bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lalu, IPD Kluang berjaya mencapai tahap membanggakan dalam membanteras jenayah kekerasan dan harta benda.

"Pencapaian positif ini ditunjukkan melalui Indeks Jenayah Daerah Kluang yang mencatatkan penurunan 50 kes atau 7.67 peratus pada tahun lalu iaitu 602 kes berbanding 652 kes pada 2017.

"Walaupun pencapaian penurunan indeks jenayah ini pada 7 peratus pada akhir 2018, namun terdapat peningkatan dalam jenayah kekerasan 5.93 peratus (tujuh kes) dan yang ketara ialah mendatangkan cedera 21.28 peratus (10 kes) berbanding 2017 47 kes," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita sewaktu Hari Bertemu Pelanggan IPD Kluang dan kempen diskaun pengurangan saman 50 peratus di IPD Kluang, semalam.

Menurutnya, sementara itu, keseluruhan indeks jenayah kekerasan menunjukkan peningkatan 5.93 peratus (tujuh kes), namun kes yang melibatkan jenayah jalanan meningkat 2.08 peratus (satu kes) dan jenayah mendatangkan kecederaan meningkat 21.28 peratus (10 kes) berbanding tahun sebelumnya.

Katanya, daripada analisa yang dibuat, polis mendapati kebanyakan kes jenayah kekerasan ini berpunca daripada perselisihan faham di antara adik beradik, keluarga dan rakan sehingga menyebabkan kecederaan.

"Kemampuan menyelesaikan kes-kes jenayah kekerasan sebanyak 63.20 peratus dan kes-kes jenayah harta benda 47.17 peratus menjadikan keseluruhan penyelesaian kes bagi daerah Kluang 50.50 peratus yang melibatkan 79 kes daripada 125 kes jenayah kekerasan dan 225 kes daripada 447 kes jenayah harta benda.

Artikel Berkaitan:

"Saya juga sememangnya tidak dapat menafikan usaha dan produktif pegawai penyiasat IPD Kluang yang berjaya menyumbang kadar pertuduhan 40.05 peratus iaitu 586 kes daripada jumlah 1,463 kes telah dituduh dengan penyiasatan berkualiti," katanya.

Pada masa sama, kejayaan polis Kluang dalam membanteras sepenuhnya kegiatan jenayah ini seharusnya tidak dipandang mudah oleh masyarakat walaupun indeks jenayah di daerah ini mencatatkan penurunan kerana masyarakat tetap perlu mengambil langkah-langkah pencegahan bagi membendung berlakunya jenayah.

Menurutnya, pemilik motosikal juga perlu sentiasa berwaspada dan menjadikan kes-kes kecurian motosikal sebelum ini sebagai satu ancaman dan menitikberatkan langkah keselamatan bagi mengelakkan berlakunya kegiatan jenayah.

"Selain itu, jenayah ragut juga amat membimbangkan kerana mengambil kesempatan terhadap wanita dan langkah pencegahan perlu diambil seperti peka terhadap situasi sekeliling, elakkan dari mendedahkan barang kemas, elakkan mengalas beg tangan di bahu dan sentiasa berwaspada terhadap orang tidak dikenali," katanya.