Penjelasan TNB belum cukup, perlu penyelesaian: Zahid

Hantaran Ahmad Zahid dalam Facebooknya.
Hantaran Ahmad Zahid dalam Facebooknya.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan penjelasan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengenai isu kekeliruan caj bil elektrik tinggi dihadapi penggunanya masih tidak cukup untuk memenuhi kegelisahan rakyat.

Sehubungan itu, beliau mahu rungutan rakyat ekoran polemik 'panas' itu diselesaikan secepat mungkin.

Menurutnya, beliau menerima banyak rungutan dan aduan daripada rakyat sejak beberapa hari lalu yang meluahkan rasa tidak puas hati mereka setelah menerima bil elektrik yang dilihat 'tinggi' sama ada di kawasan perumahan mahu pun bangunan komersial.

“Kita semua sedia maklum sumbangan besar yang pihak TNB berikan kepada kita semua dan negara selama menghadapi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19.

“Walaupun sudah ada penjelasan dari TNB, tetapi masih tidak cukup untuk memenuhi kegelisahan rakyat,” katanya dalam satu hantaran di laman sosial Facebooknya semalam.

Ahmad Zahid menegaskan, apa sahaja penjelasan lebih mudah bagi meredakan isu berkenaan perlu diteruskan selain cadangan tindakan penghantaran tiga bil bulanan yang dilihat lebih rendah dan difahami.

Menurutnya, sudah tentu bukan hasrat kerajaan sedia ada untuk menambah bebanan rakyat yang sedang mengalami kesulitan ketika ini.

"Jangan kerana sudah menjadi kerajaan, rakyat melihat mereka mahu dipermainkan dan ini sudah tentu bukan hasrat kerajaan sekarang. Jangan kita tambah bebanan rakyat yang sedang mengalami kesulitan ketika ini.

Artikel Berkaitan:

“Namun, rakyat juga harus faham tugas dan bebanan yang dihadapi TNB selaku penyedia tunggal bekalan elektrik dalam negara ini.

“Jangan ada prasangka bahawa TNB mahu kenakan mereka. Jauh sekali mahu aniaya mereka. Marilah kita selesai isu ini segera," katanya.

Ahmad Zahid turut berkeyakinan bahawa rakyat pasti akan berkorban untuk negara jika kerajaan berlaku adil kepada mereka.

"Jika kena caranya, rakyat amat memahami, begitulah sebaliknya,” katanya.