Samun di asrama pekerja kilang, enam lelaki ditahan

Antara barangan yang dirampas polis.
Antara barangan yang dirampas polis.
A
A
A

GOMBAK - Seramai enam lelaki disyaki terlibat kes samun dua warga asing di sebuah asrama pekerja kilang di kawasan Industri Rawang ditahan di Bandar Country Homes di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak menangkap kesemua lelaki berusia 24 hingga 61 tahun dalam serbuan berasingan.

“Polis merampas 14 buah telefon bimbit pelbagai jenis, lima buah motosikal dan dua bilah parang yang dipercayai digunakan semasa melakukan jenayah samun.

"Kita percaya tangkapan ini dapat menyelesaikan kes samun di asrama pekerja kilang dan tiga lagi kes samun jalanan di sekitar Rawang dan Bandar Country Homes,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurutnya, lima daripada suspek yang ditangkap itu mempunyai rekod jenayah dan dadah selain salah seorang daripada suspek dikehendaki polis kerana positif dadah.

"Siasatan lanjut masih diteruskan untuk mengenalpasti penglibatan suspek dalam kes lain. Kesemua suspek direman tujuh hari bermula 12 hingga 19 Jun ini bagi membantu siasatan," katanya.

Pada 6 Jun lalu, polis menerima panggilan berhubung kes lima lelaki bersenjatakan parang mencederakan dua pekerja warga Bangladesh di asrama pekerja kilang di kawasan Industri Rawang.

Suspek turut melarikan beberapa buah telefon bimbit dan wang tunai RM1,500.

Artikel Berkaitan:

Dua mangsa berusia 25 dan 36 tahun yang sudah keluar wad itu sebelum ini menerima rawatan di Hospital Selayang dan kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.