Lapan surat lagi bakal menyusul

KAFA ketika ini menanggung hutang kira-kira RM4.6 juta untuk membayar gaji pemain dan pegawainya.
KAFA ketika ini menanggung hutang kira-kira RM4.6 juta untuk membayar gaji pemain dan pegawainya.
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) dijangka menerima lapan lagi surat daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membabitkan tunggakan gaji bekas pemain dan pegawai import The Red Warriors (TRW).

Setiausaha Agung KAFA, Husin Deraman berkata, kes tersebut sudah berada dalam pengetahuan FIFA selepas pemain dan pegawai terbabit bertindak membawa perkara berkenaan kepada badan induk bola sepak dunia itu.

“Apa yang boleh saya katakan, sebenarnya semua hutang pemain dan pegawai berjumlah 17 orang termasuk enam tunggakan gaji pemain tempatan berjumlah kira-kira RM4.6 juta.

“Bagi pemain import, kita baru terima surat arahan (FIFA) untuk menjelaskan tunggakan gaji kepada tiga pemain dan kita akan minta penangguhan pembayaran daripada FIFA,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebelum ini, Kafa telah menerima surat arahan untuk menjelaskan tunggakan daripada FIFA membabitkan tiga bekas pemainnya iaitu Cassio Francisco De Jesus, Bruno Lopes dan Alaeddine Bouslimi yang keseluruhannya berjumlah RM928,103.88.

Sebagai rekod, Kafa menanggung beban hutang terhadap Cassio berjumlah RM629,620.28; Lopes (RM141,103.60) dan terbaharu, Bouslimi yang berjumlah RM157,380.

Husin memberitahu, Kafa akan memberikan perhatian terlebih dulu kepada tunggakan gaji enam bekas pemain tempatan memandangkan tarikh akhir diberikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sehingga 30 Jun ini.

“Jumlah keseluruhan hutang yang perlu diselesaikan itu adalah sebanyak RM400,000 dan kami akan cuba selesaikannya terlebih dulu bagi mengelakkan hukuman pemotongan mata dalam saingan liga.

Artikel Berkaitan:

“Kami akan cuba berbincang dengan para pemain terbabit dengan menjadualkan kembali proses pembayaran kerana kami tidak mempunyai wang yang cukup untuk melunaskan kesemuanya,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau turut tidak menolak kemungkinan Kafa akan meminta penangguhan pembayaran daripada FAM jika perbincangan gagal dijalankan dalam waktu terdekat.

“Tetapi pihak kami masih positif bekas pemain memahami kesukaran yang kami hadapi, apatah lagi pasukan kini dihimpit masalah kewangan sepanjang penangguhan saingan Liga Malaysia (Liga-M) akibat pandemik Covid-19,” katanya.