Siapa Perdana Menteri PH?

A
A
A

APA kebarangkalian Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini? Kalaulah berjaya, siapakah pula yang akan menjadi Perdana Menteri untuk PH, Tun Dr Mahathir Mohamad atau Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Dua soalan itu barangkali paling kuat bermain dalam kotak pemikiran pemerhati politik ketika ini setelah melihat perkembangan yang berlaku dalam PH seminggu dua ini.

Ketika ini, baik PN mahupun PH masih belum mempunyai satu jumlah kerusi yang meyakinkan di Parlimen.

Walaupun sekarang PN membentuk kerajaan dan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Perdana Menteri yang sah, PN masih belum membuktikan berapa jumlah majoriti kerusi mereka yang sebenar di Parlimen ketika membentuk kerajaan Februari lalu.

Di pihak PH pula, mereka masih lagi yakin dan percaya ada angka yang cukup bagi membolehkan peralihan kerajaan sekali lagi berlaku, sesuai dengan mandat rakyat ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dua tahun lalu. Namun begitu setakat ini memang jelas persoalan siapa yang punya angka untuk ke Putrajaya masih tergantung dan tiada kepastian.

Cumanya, katakanlah PH berjaya memperoleh angka itu dan kembali mentadbir di Putrajaya, siapakah pula yang bakal menerajui kerajaan?

Apakah Dr Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri tertua di dunia buat kali ketiga atau Anwar yang akan menamatkan penantian berdekad setelah dua kali dinafikan tahun 1998 dan 2020?

Untuk rekod, Anwar telah dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada September 1998 oleh Dr Mahathir yang sebelum itu sudah mencanangkan beliau sebagai bakal penggantinya.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun 2020, Dr Mahathir secara tiba-tiba meletak jawatan sebagai Perdana Menteri sebelum sempat menunaikan janjinya kepada Anwar yang sudah dua tahun menanti untuk mengganti.

Setakat yang diketahui, beberapa mesyuarat bersama telah diadakan oleh PH bagi membincangkan siapa sebagai bakal Perdana Menteri, namun begitu PH masih berahsia dan berteka-teki apakah Dr Mahathir ataupun Anwar orangnya.

Kalau diperhatikan, Parti Keadilan Rakyat (PKR) terutamanya kuat mahukan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri.

Hal itu disokong Presiden PH dan Timbalan Perdana Menteri sendiri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada Selasa lalu yang didokong kuat oleh Young Turks dalam PKR.

Hal itu tidak mengejutkan kerana pengalaman PKR dengan Dr Mahathir semasa PH berkuasa dan tempoh dua tahun beliau sebagai Perdana Menteri juga sepatutnya sudah selesai.

Merancang

Namun begitu, kebarangkalian Dr Mahathir sekali lagi terpilih juga masih ada. Ketika ini, beliau kelihatan lebih bersemangat dan bekerja keras memastikan PH menumbangkan PN berbanding Anwar sendiri.

Di permulaan, Dr Mahathir lebih terkedepan dan agresif mengepalai PH mendepani PN. Pertemuan-pertemuan awal bagi merancang tujuan dan strategi banyak digerakkan oleh beliau tanpa kehadiran Anwar, menunjukkan usaha kerasnya yang mahukan PH kembali menjadi kerajaan.

Cumanya, apapun yang berlaku kedua-dua tokoh ini memerlukan kekuatan dan pengaruh masing-masing sekiranya mahu menyaksikan PH kembali memerintah.

Ketika ini, pengaruh Dr Mahathir dilihat mampu menarik sokongan luar masuk ke dalam PH terutamanya dari Bersatu, UMNO atau Pas, manakala Anwar pula dilihat sebagai penyatu yang mengukuhkan sokongan parti komponen dalam PH. Sebab itu tiada sebab itu menafikan kepentingan dan pengaruh masing-masing.

Walaupun pepatah Cina mengatakan dua ekor harimau tidak boleh berada di atas satu puncak bukit, kita barangkali mungkin sedang menyaksikan dua ekor harimau yang ‘luka’ dan ‘tua’ di atas satu puncak bukit yang sama.

Apakah kisah dan nasib mereka seterusnya akan diperhati oleh seluruh mergastua puncak bukit dengan penuh minat.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)