Masih ada pelanggan guna nama Badang, Batman

Pelanggan diminta merekodkan butiran diri yang lengkap dalam buku daftar masuk premis. - Foto Bernama
Pelanggan diminta merekodkan butiran diri yang lengkap dalam buku daftar masuk premis. - Foto Bernama
A
A
A

KUANTAN - Masyarakat diminta merekodkan nama sebenar dalam buku daftar masuk premis bagi memudahkan pihak berkuasa mengesan dan menghubungi sekiranya terdapat kes jangkitan koronavirus (Covid-19).

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pahang, Abd Rahim Muda berkata, ini kerana masih ada pelanggan premis yang merekodkan nama samaran dan nama rekaan seperti Badang dan Batman dalam buku daftar masuk premis.

Abd Rahim Muda
Abd Rahim Muda

Menurutnya, butiran lengkap tersebut sangat penting bagi memudahkan pihak berkuasa membuat semakan dan saringan kesihatan sekiranya berlaku kes Covid-19 membabitkan pelanggan ke premis sama.

"Terdapat dua kaedah pendaftaran masuk ke premis iaitu kaedah imbasan kod QR atau tulis buku secara manual. Kod QR tiada masalah kerana wajib mengisi butiran seperti kad pengenalan.

"Yang jadi isu sedikit buku secara manual ini. Tolong guna nama betul bukan nama samaran atau rekaan. Ada nama Batman, ada Badang. Nombor telefon pun tak cukup angka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pejabat Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pengurusan Awam (SWCorp) di sini hari ini.

Abd Rahim berkata, perkara itu menunjukkan masih ada masyarakat yang kurang sedar kepentingan menulis butiran peribadi dan nombor telefon dalam buku tersebut sebagai norma baharu kehidupan ketika pandemik.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ada pesakit Covid-19 yang ada rekod perjalanan ke premis yang sama ini akan menyukarkan pihak berkuasa atau kesihatan untuk menjejaki anda," katanya.