12 lelaki Bangladesh ditahan bantu siasatan kes bunuh

No Image Caption
A
A
A

KEPALA BATAS - Seramai 12 lelaki warga Bangladesh ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan mayat rakan senegara mereka yang dijumpai dengan kesan kecederaan pada dahi dan kepala dipercayai dibunuh, di kawasan kebun sayur Jalan Ara Kuda di sini pada Rabu lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, kesemua mereka berumur 25 hingga 40 tahun yang merupakan pekerja di kebun sayur itu ditahan semalam selepas siasatan awal polis mendapati terdapat kemungkinan ada antara warga asing terbabit terlibat.

"Semua warga asing itu ditahan di rumah pekerja yang terdapat dalam kawasan kebun sayur berkenaan dan polis percaya ada dalam kalangan mereka terlibat dalam kejadian samun serta bunuh itu.

"Suspek dipercayai tahu pergerakan mangsa termasuk ketika dia ke rumah majikan pada malam kejadian iaitu pada Selasa malam bagi mengambil wang gaji pekerja untuk dihantar kepada keluarga (pekerja) di Bangladesh," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya, siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan kejadian itu dilakukan oleh lebih daripada seorang dan mereka dipercayai mahu menyamun wang yang baru diambil mangsa namun lelaki itu melawan sebelum berlaku pergelutan sehingga suspek bertindak memukul sehingga mati.

Noorzainy berkata, suspek turut melarikan wang gaji pekerja asing hampir RM4,000 yang baru diambil mangsa untuk dikirimkan kepada keluarga mereka kerana duit tersebut tiada bersama mayat lelaki berkenaan.

Katanya, polis percaya dengan penahanan 12 lelaki itu, pihaknya dapat menyelesaikan kes tersebut dan kesemua mereka kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan kes berkenaan yang disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Mayat mangsa, Mohammad Abdul Lofti, 59, ditemukan dalam keadaan terbaring oleh pekerja di kebun sayur itu kira-kira pukul 7.00 pagi Rabu ketika dalam perjalanan ke kebun untuk bekerja.

Artikel Berkaitan:

Pemeriksaan awal menemui banyak darah pada badan mangsa serta kesan koyakan di dahi kiri dan atas kepala lelaki tersebut disyaki akibat dipukul dengan objek tumpul serta keras, lebam di pipi kiri serta cedera di lutut kanan.

Selain itu, barangan peribadi milik mangsa berada dalam bungkusan plastik bersamanya antaranya kertas tambah nilai, ubatan dan telefon bimbit serta wang tunai RM418 di sisi kiri tangannya namun wang gaji pekerja sebanyak RM4,000 hilang. - Bernama