20 kes balak, melombong emas haram dikesan sepanjang PKP, PKPB

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) berjaya mematahkan 20 kes cubaan memindahkan balak dan melombong emas secara haram sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak Mac hingga 10 Jun lalu.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, kes tersebut melibatkan lima daerah iaitu Rompin (3 kes), Temerloh (3), Lipis (3), Raub (4) dan Kuantan (7).

Menurutnya, hasil operasi yang dijalankan, beberapa jentera termasuk peralatan melombong disita.

"Kes melombong emas secara haram berlaku dalam kawasan Hutan Simpan Ibam di Rompin dan di Hutan Simpan Aur Gading serta Hutan Simpan Tersang di Lipis.

"Kejayaan ini adalah atas usaha bersungguh-sungguh anggota Unit Penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) yang dibantu sepenuhnya Unit Penguatkuasa JPNP yang bertugas sepanjang PKP dan PKPB," katanya.

Dr Mohd Hizamri berkata, kegiatan meneroka hutan simpan dan tanah kerajaan untuk projek pertanian juga dikesan berlaku membabitkan Hutan Simpan Jengka, Maran manakala kegiatan memindahkan tual balak juga turut dikesan berlaku dalam Hutan Simpan Chini.

"Sepanjang PKP dan PKPB lalu, aktiviti rondaan terutama di kawasan panas sentiasa diadakan bagi memastikan kegiatan menceroboh dan memindahkan hasil hutan secara haram tidak berlaku.

"Jenayah alam sekitar ini boleh mengundang kemusnahan hutan dan kerugian pada kerajaan jika tidak ditangani," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerjasama orang awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan menceroboh hutan simpan juga antara faktor kepada kejayaan anggota penguatkuasa mengesan kes-kes yang berlaku itu.

"Jabatan sentiasa tegas dalam tindakan terutama membabitkan kegiatan menceroboh dan memindahkan hasil hutan simpan secara haram yang berlaku di negeri ini," katanya.