IWK gantung perkhidmatan kontraktor cemar alam sekitar

Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK)
Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK)
A
A
A

SHAH ALAM - Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menggantung serta-merta Syarikat Zennessy Park Sdn Bhd kerana sub kontraktor syarikat itu membuang enap cemar kumbahan ke kawasan terbiar di Bukit Damar, Cyberjaya.

Ketua Pegawai Eksekutif IWK, Narendran Maniam berkata, kontraktor yang dilantik didapati melanggar perjanjiannya dengan IWK dan secara tidak bertanggungjawab membuang enap cemar kumbahan di kawasan yang bukan ditetapkan IWK dan Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Syarikat terbabit telah dikenakan tindakan tegas oleh pihak berkuasa dan diarahkan untuk membersihkan kawasan yang telah dicemarkan dalam masa 24 jam. Kegagalan berbuat demikian boleh mengakibatkan kontrak bersama IWK ditamatkan.

“IWK tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang ingin menjalankan perniagaan bersama syarikat ini sekiranya mereka tidak mematuhi peraturan dan perjanjian yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Narendran berkata, dalam usaha memastikan semua kontraktor IWK tidak melanggar peraturan yang ditetapkan dalam kerja-kerja pelupusan enap cemar, pihak syarikat telah mengarahkan semua kontraktornya untuk memasang Sistem Pengawasan Kenderaan (Vehicle Monitoring System) di kesemua kenderaan mereka.

“Melalui sistem ini, pihak syarikat dapat memantau pergerakan kenderaan kontraktor dan berupaya mengesan mana-mana kenderaan yang tidak memenuhi perjalanan yang lengkap ke kawasan pelupusan yang ditetapkan,” katanya.

Narendran berkata, IWK sentiasa memastikan kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan di semua 7,000 loji di bawah seliaan IWK sentiasa mengikut spesifikasi dan prosedur menurut keperluan dan peraturan pihak berkuasa.

“Pihak pengurusan syarikat tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak, baik pihak kontraktor atau kakitangan sendiri, sekiranya ada yang melanggar peraturan alam sekitar, dalam memastikan sumber air serta alam sekitar terus terpelihara daripada pencemaran,” katanya.

Artikel Berkaitan: