Isu tarian: Kerajaan digesa ambil tindakan tegas, segera

Video tular di media sosial.
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengambil tindakan tegas dan segera bagi menegur selain memulihkan keadaan, susulan isu tarian sepentas membabitkan beberapa individu penting dalam institusi kehakiman dan perundangan.

Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah), Ahmad Azam Abd Rahman berkata, ia bagi mengembalikan keyakinan rakyat kepada integriti badan kehakiman dan penjawat-penjawat tinggi undang-undang negara.

"Suatu keadilan bukan hanya perlu dilakukan tetapi mesti juga dilihat dilakukan," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Azam berkata, isu itu perlu dipandang serius kerana ia melanggar prinsip profesional dan etika universal.

"Wadah menolak dalih bahawa kejadian pada acara tersebut hanyalah aktivti sosial lazim atau percubaan membawa konotasi terdapat perbedaan faham resam serta keagamaan.

"Wadah kesal dengan alasan-alasan remeh dan hambar yang berikan wakil-wakil kerajaan kerana kedaulatan undang-undang, integriti dan ketelusan serta kewibaaan penjawat-penjawat tinggi undang-undang merupakan harapan dan janji serta sebab berlakunya Malaysia Baharu," katanya.

Menurutnya, berdasarkan Tertib Tatakelakuan Hakim, badan kehakiman mesti mengelakkan ketidaksopanan dan gambaran ketidaksopanan dalam semua aktiviti kehakiman.

Antaranya, seorang hakim tidak boleh membenarkan apa-apa hubungan mempengaruhi kelakuan kehakiman atau penghakimannya dan tidak boleh menggunakan prestij jawatan kehakimannya untuk memajukan kepentingan peribadinya atau orang lain.

"Seorang hakim juga tidak boleh memberikan atau membenarkan orang lain memberikan gambaran kepada mana-mana orang bahawa mereka berada dalam kedudukan yang istimewa untuk mempengaruhinya.

"Selain itu juga, seseorang hakim hendaklah mengelakkan hubungan rapat dengan anggota profesion perundangan secara individu, khususnya mereka yang menjalankan amalan di dalam mahkamah hakim itu, jika hubungan demikian mungkin menimbulkan syak atau tanggapan pilih kasih yang munasabah," katanya mengikut tertib tatakelakuan berkenaan.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia