TH tangguh semua urusan berkaitan operasi haji

Nik Mohd Hasyudeen
Nik Mohd Hasyudeen
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan semua urusan berkaitan operasi haji bagi Musim Haji 1441H/2020M akan ditangguhkan atas faktor keselamatan dan kesihatan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Nik Mohd Hasyudeen Yusoff berkata, tindakan itu diambil selaras dengan keputusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri semalam yang mengumumkan keputusan kerajaan untuk menangguhkan penghantaran jemaah haji dari Malaysia ke Tanah Suci ekoran penularan wabak koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia termasuk di Arab Saudi.

Justeru, katanya, keputusan kerajaan untuk menangguhkan pemergian kira-kira 31,600 jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci pada tahun ini menunjukkan keprihatinan kerajaan yang amat mengambil berat aspek keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat.

“Sehubungan dengan penangguhan ini, semua bakal haji yang giliran haji diperuntukkan pada musim haji tahun 2020 akan diberi keutamaan untuk menunaikan fardu haji pada tahun 2021.

“Bagi bakal haji yang gilirannya adalah pada tahun 2021, mereka akan turut diberi peluang tertakluk kepada kekosongan kuota tahun semasa,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Nik Mohd Hasyudeen berkata, semua bayaran haji yang telah didebit akan dipulangkan semula mengikut kadar penuh ke dalam akaun TH bakal haji masing-masing dalam masa terdekat.

Menurutnya, jumlah bayaran haji tersebut juga layak menerima agihan keuntungan bagi tahun 2020.

Artikel Berkaitan: