Dua suspek kes bunuh tiga lelaki direman tujuh hari

No Image Caption
A
A
A

TAMPIN - Dua lelaki warga Indonesia yang dipercayai suspek utama kes bunuh tiga lelaki dalam pergaduhan di sebuah rumah kongsi Kebun Sawit Gedok, Gemencheh pada 6 Disember lepas direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Anuwal Ab Wahab berkata, suspek diberkas di sebuah rumah kongsi di tapak pembinaan Jalan Duta Mas 1, Mukim Batu, Kuala Lumpur pada jam 1.20 pagi hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

"Kedua-dua suspek yang ditahan berusia 20 dan 25 tahun dan polis turut merampas dua telefon bimbit di kawasan rumah kongsi berkenaan.

"Siasatan polis mendapati motif pembunuhan adalah disebabkan dendam lama semasa mereka berada di Indonesia lagi," menurutnya dalam kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata, dalam kes itu, yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, polis telah merakam percakapan empat lelaki senegara yang merupakan rakan serumah kesemua mangsa.

“Keterangan rakan serumah mengatakan telah melihat suspek yang dikenali sebagai Ojak, yang juga warga Indonesia, melarikan diri dengan memegang sebilah sabit manakala laporan bedah siasat mendapati punca kematian kesemua mangsa adalah luka kelar berganda di leher,” katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Bergaduh sampai mati di rumah kongsi

Artikel Berkaitan: