Lagi patung jadi sasaran kumpulan protes antirasisme

Patung Columbus di Saint Paul, Minnesota (gambar kecil) dan Davis di Richmond, Virginia ditumbangkan kumpulan protes antirasisme. - Foto Agensi
Patung Columbus di Saint Paul, Minnesota (gambar kecil) dan Davis di Richmond, Virginia ditumbangkan kumpulan protes antirasisme. - Foto Agensi
A
A
A

SAINT PAUL - Sekumpulan penunjuk perasaan hari ini bertindak menumbangkan patung penjelajah terkenal dari Itali, Christopher Columbus di Saint Paul, Minnesota yang merupakan kejadian terbaharu melibatkan monumen di Amerika Syarikat (AS) yang menjadi sasaran kemarahan peserta protes antirasisme.

Patung gangsa setinggi tiga meter itu ditumbangkan daripada tapak granit yang menjadi asasnya oleh beberapa individu yang menyertai demonstrasi diketuai aktivis penduduk asli Amerika.

Di Saint Paul, aktivis Mike Forcia mendakwa perbuatan itu wajar dilakukan berikutan penduduk di kawasan kejiranan itu sudah sekian lama membantah tindakan memberi penghormatan kepada Columbus kerana mendakwa ekspedisi beliau ke Amerika menyebabkan penjajahan dan genosid ke atas nenek moyang mereka.

Difahamkan, patung Columbus itu dihasilkan Carlo Brioschi dan dijadikan sebagai hadiah oleh penduduk Itali-Amerika di Minnesota pada 1931.

Kejadian itu berlaku sehari selepas kumpulan protes menjatuhkan patung Presiden Negeri Gabungan Amerika ketika Perang Saudara Amerika, Jefferson Davis di Monument Avenue di Richmond, Virginia.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Donald Trump memaklumkan beliau enggan mempertimbangkan desakan banyak pihak supaya menamakan semula pangkalan tentera sempena nama jeneral Gabungan yang terlibat Perang Saudara Amerika 1861-65.

Beliau mendakwa kemudahan itu adalah sebagai daripada ‘warisan hebat Amerika’ walaupun pegawai kanan tentera terbuka terhadap sebarang perubahan. - Agensi

Artikel Berkaitan: