Melaka benar solat fardu berjemaah mulai esok

Melaka membenarkan solat fardu berjemaah di semua masjid dan surau negeri itu bermula esok. - Foto Bernama
Melaka membenarkan solat fardu berjemaah di semua masjid dan surau negeri itu bermula esok. - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA TENGAH - Melaka membenarkan solat fardu berjemaah di semua masjid dan surau negeri ini bermula esok dengan menetapkan beberapa garis panduan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, perkara itu diputuskan melalui Muzakarah Khas Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) Kali Ke-6 yang bersidang melalui sidang video pada Selasa lalu dan dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Bil 2/2020.

Menurutnya, prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk kedudukan saf mesti berdasarkan penjarakan sosial dengan anggaran jemaah kurang daripada 40 peratus daripada kapasiti asal masjid dan surau.

Katanya, beberapa surau juga akan diberikan kebenaran khas untuk mendirikan solat Jumaat sepanjang tempoh PKPP dengan mematuhi garis panduan ditetapkan dan kebenaran bertulis MAIM serta berdasarkan keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Melaka.

"Sekiranya kapasiti asal bagi sebuah masjid boleh memuatkan seramai 400 jemaah, maka bilangan jemaah yang dihadkan maksimum tidak boleh melebihi 160 orang.

"Bagi masjid-masjid besar, had maksimum jemaah yang dibenarkan adalah seramai 250 orang sahaja namun kadar ini juga tertakluk kepada kemampuan pihak pengurusan masjid melaksanakan SOP keselamatan dan kesihatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, kerajaan negeri turut membenarkan aktiviti keagamaan dilaksanakan di masjid dan surau kecuali aktiviti yang dilarang seperti kenduri, gotong-royong dan sebagainya.

Malah menurutnya, kuliah Maghrib, Subuh dan kelas takmir juga dibenarkan selain majlis akad nikah boleh diadakan di masjid atau surau dengan mematuhi penjarakan sosial.

Artikel Berkaitan:

"Kuliah Maghrib harus ditamatkan sebaik sahaja masuk waktu Isyak manakala kuliah Subuh dibuat antara 20 hingga 30 minit sahaja namun ceramah umum membabitkan penceramah jemputan luar tidak dibenarkan," katanya.

Sebelum ini, kerajaan Melaka membenarkan kira-kira 212 buah masjid termasuk surau yang diberikan tauliah solat Jumaat mengadakan solat Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Melaka benarkan solat Jumaat hari ini, terhad 40 jemaah