Selangor benar solat Jumaat 40 orang bermula esok

Sultan Selangor berkenan agar masjid di negeri ini menambah jumlah jemaah daripada 12 orang kepada 40 orang tidak termasuk pegawai serta ahli jawatankuasa. Gambar kecil: Mohamad Munir
Sultan Selangor berkenan agar masjid di negeri ini menambah jumlah jemaah daripada 12 orang kepada 40 orang tidak termasuk pegawai serta ahli jawatankuasa. Gambar kecil: Mohamad Munir
A
A
A

SHAH ALAM - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan agar masjid di negeri ini menambah jumlah jemaah daripada 12 orang kepada 40 orang tidak termasuk pegawai serta ahli jawatankuasa.

Difahamkan, kebenaran itu hanya melibatkan 39 buah masjid yang ditetapkan sebelum ini.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, Sultan Selangor memberi perkenan tersebut setelah menerima taklimat oleh Pengarah Kesihatan Selangor berkaitan kedudukan terkini kes koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

"Baginda turut mendapatkan pandangan daripada Mufti Selangor (Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid) bersama Timbalan Mufti Selangor (Datuk Dr Anhar Opir), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berkaitan tarikh dan kewajaran solat Jumaat serta fardu secara berjemaah.

"Seramai 40 orang jemaah terlibat juga akan diedarkan kad untuk hadir sewaktu solat Jumaat esok," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Pada 1 Jun lalu, Sultan Sharafuddin memberi perkenan untuk membenarkan solat Jumaat didirikan di 39 buah masjid di negeri ini dengan jumlah jemaah tidak melebihi 12 orang terdiri daripada kalangan pegawai dan ahli jawatankuasa masjid sahaja.

Mengulas lanjut, Mohamad Munir berkata, bagi mereka yang tidak dapat menunaikan solat Jumaat secara berjemaah, mereka harus menggantikannya dengan solat Zohor di tempat masing-masing.

" Solat jemaah yang dibenarkan adalah solat Subuh, Maghrib dan Isyak.

Artikel Berkaitan:

"Surau yang mendapat kebenaran solat Jumaat masih tidak dibenarkan untuk dibuka melainkan melibatkan tiga orang pegawai sahaja," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Munir berkata, JAIS juga telah menyediakan dan akan menguatkuasakan garis panduan lengkap tatacara pelaksanaan solat Jumaat dan fardu secara berjemaah selepas ini.

"Pegawai dan ahli jawatankuasa masjid diberi tanggungjawab penuh untuk mengendalikan dan menguatkuasakan garis panduan berkenaan.

"Sultan Selangor juga akan mengikuti perkembangan dan meneliti keberkesanan garis panduan ini dari masa ke masa," katanya.