'Tak kisah kalau Ahmad Faizal sertai UMNO'

Saarani
Saarani
A
A
A

IPOH - UMNO Perak tidak mempunyai masalah jika Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ingin menyertai semula UMNO.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, politik bersifat dinamik yang sentiasa berubah-ubah mengikut keadaan.

Beliau berkata, apa sahaja keputusan dibuat tidak menjadi masalah jika ia memberikan manfaat kepada rakyat.

"Politik sangat dinamik, macam-macam boleh jadi. Terpulanglah kepada keadaan. Tak ada masalah (Ahmad Faizal sertai UMNO), asalkan kita boleh menjadi kerajaan yang baik dan boleh berbuat kebajikan kepada rakyat.

"Bila kerajaan dibina atau ditubuhkan, rakyat mendapat manfaat, itu sudah cukup dan kita nak kurangkan politiking apatah lagi selepas penularan wabak koronavirus (Covid-19) siapapun jadi kerajaan fokus kepada rakyat," katanya kepada pemberita di Pejabat Sekretariat Pembangunan Usahawan Perak, Bandar Meru Raya, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab desas-desus kononnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mahu menyertai kembali UMNO.

Sebelum ini, seorang penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain mendedahkan terdapat perbincangan sedang diadakan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Muafakat Nasional bagi membolehkan parti itu kembali menyertai UMNO dalam masa terdekat.

[Artikel berkaitan: https://www.sinarharian.com.my/article/86183/ANALISIS-SEMASA/Perbincangan-Muhyiddin-Bersatu-sertai-UMNO

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun pada mesyuarat yang disertai Ahmad Faizal pada 4 Jun lalu tidak membincangkan mengenai penyertaan Bersatu ke dalam UMNO sebaliknya menyatakan sokongan terhadap kepimpinan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam perkembangan lain mengenai kedudukan kerajaan Perak, Saarani berkata, kerajaan Perikatan Nasional yang dibentuk bersama BN, Pas dan Bersatu di negeri ini cukup kuat dengan 32 kerusi serta disokong oleh tiga wakil rakyat daripada blok bebas.

Katanya, hampir setiap minggu Ahmad Faizal mempengerusikan mesyuarat Exco dan semua Exco kerajaan negeri bekerja mengikut portfolio yang diberikan.

Beliau berkata, pentadbiran kerajaan sedang giat bekerja dan diyakini mampu bertahan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Mengulas kerjasama parti di peringkat akar umbi pula, Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata, pihaknya tidak menghalang mana-mana ahli parti untuk bekerjasama dengan pemimpin di dalam gabungan Perikatan Nasional.

"Saya sebutkan tadi politik ini dinamik, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selalu sebut dahulu dalam politik ini musuh tidak kekal, sahabat pun tidak kekal. Selagi mana kita boleh berhubung dengan manusia untuk tujuan menubuhkan sebuah kerajaan yang baik bagi manfaat rakyat, teruskan. Nasihat saya kepada semua orang dalam politik perbanyakkan sahabat dan rakan, kurangkan musuh Insya-ALLAH selesai.

"Lihat macam mana saya tolong Menteri Besar daripada Bersatu, kalau saya tak mahu tolong dia letihlah kerajaan kita ini. Kalau UMNO boleh tolong Bersatu, Pas boleh tolong Bersatu, itulah yang patut dilakukan di semua peringkat masyarakat termasuk di peringkat daerah, mukim dan kampung," katanya.

Katanya, semua peringkat parti boleh bekerjasama dengan mana-mana pemimpin daripada Perikatan Nasional asalkan ia memberikan manfaat kepada rakyat.