PIJ bantu peniaga B40, M40

Mohd Izhar Ahmad
Mohd Izhar Ahmad
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri melalui Unit Strategik Modal Insan Johor (SMI) akan melaksanakan Program Insan Johor (PIJ) untuk manfaat golongan peniaga B40 dan M40 yang terjejas akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Mohd Izhar Ahmad berkata, program itu menyediakan bantuan peralatan untuk membolehkan kumpulan sasar menyertai atau menjalankan projek-projek ekonomi dengan lebih aktif.

"Matlamatnya adalah menyuntik daya saing, menambah pendapatan serta meningkatkan taraf hidup ahli masyarakat dan seterusnya merancakkan lagi kegiatan ekonomi negeri Johor.

"Kumpulan sasar bagi pelaksanaan program ini terdiri daripada para peniaga B40 dan M40 yang terkesan teruk susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan Pandemik Covid-19," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, skop bantuan adalah pemberian mesin atau peralatan baharu berkaitan pakej yang dimohon dan bukan untuk pembaikan, penyelenggaraan serta penambahan mesin atau peralatan sedia ada.

Jelasnya, terdapat lima pakej bantuan yang ditawarkan iaitu Pakej Jahitan, Pakej Automotif, Pakej Agro, Pakej Gunting Rambut Lelaki, Pakej Makanan dan Minuman bagi pelaksanaan projek ekonomi.

Bantuan itu katanya, turut merangkumi latihan dan kursus kemahiran bertujuan memberi pendedahan kepada peserta berkaitan kemahiran asas seperti pemasaran secara atas talian dan pengurusan kewangan.

"Program Insan Johor ini selari dengan hasrat kerajaan Johor iaitu meneruskan legasi kemakmuran negeri dalam pelbagai bidang khususnya mengukuhkan agenda pembangunan modal insan demi manfaat rakyat negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, jumlah penerima manfaat program itu yang disasarkan adalah minima 100 peniaga yang telah mendaftarkan perniagaan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebelum atau pada 31 Disember ini.

Permohonan Program Insan Johor ujarnya, boleh diisi melalui platform google form dan pautan boleh didapati dalam Facebook Unit Strategik Modal Insan Johor bermula pada jam 3.00 petang ini.

Untuk sebarang maklumat lanjut, katanya, boleh layari laman Facebook Unit Strategik Modal Insan Johor atau boleh menghubungi urusetia di talian 07-266 7271 / 7269.

Tambah beliau, tarikh tutup permohonan adalah pada 4 Julai ini.