Gangguan air di Kuala Langat, Klang kerana paip pecah

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Beberapa kawasan di Kuala Langat dan Klang mengalami gangguan bekalan air berikutan insiden paip pecah ekoran kerja-kerja pengorekan berhampiran sebuah restoran di Jalan Langat dekat sini semalam.

Kawasan terjejas di daerah Kuala Langat adalah di Batu 7 hingga Batu 9 Sijangkang; Jalan Sijangkang Utama; Taman Medan; Taman Perwira; Taman Sijangkang Jaya; Batu 9 Kebun Baru; Eco Santuary; Tropicana Aman dan sekitar Bt 9, Kg Medan.

Dua kawasan yang terjejas di daerah Klang pula adalah Bandar Bistari dan Bt 5 dan Bt 6 di Jalan Langat.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, kerja-kerja pembaikan paip pecah tidak dapat disiapkan seperti dijadualkan pada 10 pagi ini disebabkan kedalaman paip pecah melebihi dua meter di bawah permukaan tanah.

"Ini memerlukan kerja pengukuhan ruang pembaikan terlebih dahulu serta kerja-kerja pengalihan kabel oleh syarikat utiliti lain.

"Kerja pembaikan kini sedang giat dijalankan dan dijangka siap jam 4 petang ini," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, Air Selangor menjangka pemulihan bekalan air di kawasan terjejas pada jam 2 pagi esok.

"Bantuan air melalui lori-lori tangki sedang digerakkan ke kawasan-kawasan terjejas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Air Selangor akan terus menyalurkan status terkini kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com. -Bernama