MARii, FVC jalin kerjasama bantu PKS dapatkan dana

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

CYBERJAYA- Syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan syarikat yang baharu memulakan operasi bakal menarik nafas lega apabila Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) dan Ficus Venture Capital (FVC) menjalinkan kerjasama untuk membantu industri mendapatkan dana.

Kerjasama antara MARii dan FVC yang dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU).

Ketua Eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari dalam kenyataannya berkata, MoU itu menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama erat dalam pengembangan rangkaian usaha pembiayaan untuk perniagaan.

"Ia adalah berkaitan dengan teknologi dan mewujudkan akses pasaran lebih besar untuk syarikat teknologi tempatan," katanya.

Menurutnya, kerjasama itu juga menyediakan kepimpinan pemikiran dan panduan untuk PKS selain pengembangan teknologi dan pembiayaan pengkomersialan harta intelek.

"Bagi pengembang kemampuan perniagaan, objektif adalah meletakkan PKS pada kedudukan yang kukuh sehingga mereka dapat bersinar apabila tiba waktunya sekaligus dapat meningkatkan dana," katanya.

Beliau berkata, pada ketika persaingan untuk mendapatkan dana semakin sengit dari hari ke hari, MoU tersebut melengkapkan ekosistem untuk kerangka pengembangan perniagaan yang komprehensif.

"Ini melengkapi program pengembangan kapasiti sebagai senjata MARii dengan meningkatkan akses bagi perniagaan untuk mengumpulkan dana dalam usaha memastikan skalabiliti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rakan Urusan, Ficus Venture Capital, Baiza BAin berkata, menerusi MoU itu, kedua-dua pihak akan mengenal pasti syarikat teknologi yang berpotensi untuk dipertimbangkan untuk pembiayaan modal teroka sama ada secara langsung oleh pihaknya atau oleh rakan pembiayaan lain.

Katanya, komitmen awal RM30 juta telah dijamin untuk inisiatif itu daripada pelbagai pihak pelaburan.

"Kerjasama ini sangat penting bagi kami kerana selain mendapatkan rakan kongsi untuk pembiayaan modal teroka, tetapi juga rakan kongsi organisasi yang sangat berwibawa yang memiliki pengetahuan mutakhir dalam bidang teknologi," katanya.