Pelanggan sanggup beratur sejam demi gunting rambut

Pekerja kedai gunting rambut mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka, pelindung muka, sarung tangan serta apron pakai buang ketika menggunting rambut pelanggan ketika tinjauan pada hari pertama PKPP semalam. - Foto Bernama Gambar kecil: Selvan
Pekerja kedai gunting rambut mematuhi SOP dengan memakai pelitup muka, pelindung muka, sarung tangan serta apron pakai buang ketika menggunting rambut pelanggan ketika tinjauan pada hari pertama PKPP semalam. - Foto Bernama Gambar kecil: Selvan
A
A
A

SHAH ALAM – Kebanyakan pengusaha perkhidmatan kedai gunting rambut yang memulakan operasinya semalam berpuas hati dengan sambutan yang diberikan oleh pelanggan.

Presiden Persatuan Pengusaha Salon Rambut Malaysia (Mahas), A K Selvan, 55, berkata, kelonggaran dan peluang yang diberikan oleh pihak kerajaan kepada pengusaha kedai gunting rambut untuk beroperasi seperti biasa sangat dihargai.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana membenarkan pengusaha kedai gunting rambut beroperasi seperti biasa dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula hari ini (semalam).

“Kami pengusaha perkhidmatan kedai gunting rambut menerima dan mengamalkan setiap SOP yang telah ditetapkan bagi tujuan pencegahan koronavirus (Covid-19),” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Pengusaha kedai gunting rambut di Taman Desa, Kuala Lumpur mengamalkan SOP yang ditetapkan seperti yang disarankan pihak kerajaan.
Pengusaha kedai gunting rambut di Taman Desa, Kuala Lumpur mengamalkan SOP yang ditetapkan seperti yang disarankan pihak kerajaan.

Beliau berkata, SOP itu adil kerana ia adalah untuk keselamatan pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan pengusaha kedai gunting rambut.

Sementara itu, mengulas lanjut, Selvan berkata, sambutan baik dalam kalangan pelanggan jelas kelihatan apabila mereka sanggup beratur panjang dan menunggu sehingga satu jam bagi mendapatkan perkhidmatan gunting rambut.

“Kebanyakan pelanggan menyambut baik kenaikan caj gunting rambut sebanyak RM5 dikenakan kerana caj ini sejajar dengan kos tambahan yang terpaksa ditanggung oleh pengusaha perkhidmatan kedai gunting rambut.

Artikel Berkaitan:

“Pelanggan tidak ada yang merungut kerana ia adalah untuk keselamatan mereka dan kenaikan RM5 tidak menjadi hal.

“Pelanggan juga memahami kerana kami pengusaha menggunakan apron plastik penutup badan, sarung tangan dan cecair sanitasi tangan semasa menjalankan perkhidmatan ke atas mereka,” katanya.