Penjawat awam tidak harus berpuas hati tahap pencapaian

Penjawat awam. - Gambar hiasan
Penjawat awam. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Penjawat awam tidak seharusnya berpuas hati dengan tahap pencapaian semasa, kata Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Ini kerana katanya, ekspektasi rakyat sebagai pemegang taruh terbesar terhadap sektor awam sentiasa meningkat.

"Pembaharuan dan inovasi perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan kita sentiasa berintegriti, tidak mengambil rasuah, salah guna kuasa untuk kepentingan peribadi serta melaksanakan tugas mengikut peraturan dan undang-undang," katanya menerusi ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang(APC) 2022 KSM di sini pada Selasa.

Beliau berkata, penjawat awam khususnya warga KSM diharap sentiasa bertindak proaktif bersamanya dan kerajaan dalam menjayakan program yang telah dirangka.

"Saya dan pengurusan tertinggi kementerian amat menghargai segala idea, kolaborasi dan sumbangan tuan-tuan dan puan-puan selama ini," katanya.

Pada majlis itu, Sivakumar menyampaikan sijil kepada 630 kakitangan yang menunjukkan pencapaian cemerlang sepanjang tahun 2022, termasuk Pingat Perkhidmatan Cemerlang (PPC) 2023 kepada Habsah Mohamad Ishak yang merupakan Pemeriksa Kilang dan Jentera Gred J54.