Ekonomi mungkin boleh meleset, kata Anwar

Anwar ketika sesi Facebook Live di Facebook rasmi beliau semalam.
Anwar ketika sesi Facebook Live di Facebook rasmi beliau semalam.
A
A
A

SHAH ALAM - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan unjuran ekonomi yang dibentangkan kerajaan menerusi pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pakej Prihatin Tambahan PKS dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara Jangka Pendek (Penjana) tidak realistik.

Beliau berkata, perbelanjaan sebanyak RM45 bilion tidak mampu menampung keperluan dan kerugian sebenar ekonomi yang terbantut akibat wabak koronavirus (Covid-19).

"Kadar penurunan pertumbuhan dalam pengeluaran negara kasar 2020 sangat ketara dan dijangka melonjak naik segera.

"Sekarang sudah bulan Jun (tetapi) belum ada rancangan jelas untuk meningkat. Jadi, saya rasa wajar untuk kita bahaskan (di Parlimen) apakah unjuran ini realistik atau munasabah," katanya dalam sesi Facebook Live di Facebook rasmi beliau semalam.

Tambah beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), soal kemelesetan juga akan berlaku mengambil kira kadar pengangguran yang mustahil dapat dikurangkan dengan begitu ketara dalam tempoh terdekat.

"Kita lihat kalau jangkaan kerajaan, kita belanjakan setakat ini sekitar RM45 bilion. Ekonomi Malaysia mencecah RM1.6 trilion, kalau dua bulan terbantut, RM133 bilion.

"Jadi yang kita belanja RM45 bilion itu tidak mampu menampung keperluan atau kerugian RM133 bilion," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menyentuh mengenai pembukaan semula institut pengajian tinggi (IPT) yang wajar diberi keutamaan oleh kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Empat wakil pelajar di Semenanjung, Sabah dan Sarawak yang turut serta dalam sesi berkenaan turut mengutarakan keperluan sama mengambil kira beberapa aspek yang perlu diberi perhatian termasuk isu sambungan Internet terhad.

"Kalau sekolah boleh dimulakan, IPT juga patut dimulakan. Kalau ikut cadangan memang munasabah pembelajaran dalam talian tetapi kita tahu ada masalah sambungan internet yang terhad untuk kawasan-kawasan tertentu," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, mesyuarat Pakatan Harapan (PH) kelmarin bersetuju untuk terus kekal bersama dalam satu pasukan pembangkang.

"Kita berkumpul dan capai satu persetujuan apa pun strategi harus bersama, pembangkang harus teguh dalam pendirian,

"Sekarang ini 107 (ahli Parlimen) dalam kumpulan ini dan kita mara ke depan dalam satu pasukan untuk pastikan mandat rakyat dihormati dan kecelaruan dan rasuah dihentikan," katanya.