Warga emas mabuk ditahan kerana memandu

 Aidi Sham
Aidi Sham
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang lelaki warga emas ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Ops Mabuk yang diadakan sekitar Jalan Kampung Baru Sirusa, dekat sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, dalam operasi pada jam 11.05 malam itu, warga emas yang juga merupakan seorang pesara berusia 71 tahun ditahan kerana memandu dalam keadaan mencurigakan.

Bagaimanapun katanya, hasil pemeriksaan ke atas kereta jenis Mercedes yang dipandu lelaki itu tidak menjumpai sebarang barang salah.

"Bagaimanapun, dia telah diarahkan untuk menjalani ujian saringan nafas SD2 bagi mengesan kandungan alkohol dan bacaan mencatatkan 236mg alkohol/ 100ml darah iaitu melebihi paras yang ditetapkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, lelaki terbabit kemudian dibawa ke pejabat trafik Ibu Pejabat Polis Port Dickson untuk menjalani ujian saringan pernafasan kali kedua menggunakan alat EBA-11 dan hasil ujian menunjukkan bacaan 211mg alkohol/ 100 ml darah, melebihi had ditetapkan iaitu 80mg alkohol/ 100ml darah.

Beliau berkata, pemandu tersebut kini ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol namun diberi jaminan polis atas faktor umur.

Kes disiasat mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: