Pahang benar perniagaan, rumah ibadat bukan Islam dan hotel beroperasi

Wan Rosdy Wan Ismail
Wan Rosdy Wan Ismail
A
A
A

KUANTAN - Semua operasi perniagaan, rumah ibadat bukan Islam dan hotel serta penginapan di negeri ini dibenarkan beroperasi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa hari ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia termasuk operasi pasar terbuka, kedai gunting rambut dan pasar malam dengan kebenaran operasi tertakluk kepada garis panduan ditetapkan kerajaan negeri.

Bagaimanapun, menurutnya, operasi untuk pasar malam, pasar lambak, pasar karat dan car boot sale bagi daerah Temerloh, Jerantut dan Jengka ditangguhkan seminggu lagi.

"Keputusan itu seiring pelaksanaan PKPP yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

"Kerajaan negeri Pahang menerusi mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) hari ini meluluskan garis panduan untuk diguna pakai meliputi seluruh negeri berkuat kuasa serta-merta," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata, melalui keputusan itu, semua premis dan aktiviti perniagaan dibenarkan beroperasi bermula jam 7 pagi hingga 9.30 malam kecuali bagi sektor yang dibenarkan (perkhidmatan essential) mengikut kelulusan lesen perniagaan asal seperti stesen minyak, kilang dan klinik.

"Sementara itu semua operasi pub, kelab malam, pusat hiburan, pusat refleksologi, pusat karaoke, taman tema, perarakan keagamaan dalam jumlah yang ramai, kenduri-kendara dan rumah terbuka masih tidak dibenarkan," katanya.

Jelasnya, peniaga juga tidak dibenarkan menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) sebagai pekerja dan meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu membuat laporan kepada Jabatan Imigresen sekiranya terdapat premis yang menggaji golongan itu selain mengambil tindakan termasuk menutup operasi premis perniagaan yang melanggar syarat.

Artikel Berkaitan:

Katanya, selain itu, semua premis perniagaan, fasiliti awam dan pelanggan diwajibkan menggunakan aplikasi MySejahtera untuk tujuan daftar pergerakan dan semakan kendiri status risiko dan kesihatan.

"Saya berharap dengan pematuhan kepada garis panduan serta SOP yang telah ditetapkan ini, usaha terus-menerus kita dalam membendung penularan wabak pandemik Covid-19 akan berjaya, Insya-ALLAH," katanya.