Polis Marin rampas lebih 900,000 batang rokok seludup

Dari kiri: Mohd Yusoff, Abdul Rahman dan Pegawai Pemerintah PPM Muar, Deputi Superintendan Nordin Osman menunjukkan rokok seludup yang dirampas selepas sidang media di Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi, Johor Bahru hari ini.
Dari kiri: Mohd Yusoff, Abdul Rahman dan Pegawai Pemerintah PPM Muar, Deputi Superintendan Nordin Osman menunjukkan rokok seludup yang dirampas selepas sidang media di Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi, Johor Bahru hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua berjaya mematahkan sindiket penyeludupan rokok di kawasan ladang kelapa sawit di Pekan Nenas, Pontian semalam.

Menerusi serbuan pada jam 2.30 petang itu, empat suspek didapati sedang memunggah rokok seludup dari sebuah lori kecil ke dalam tiga kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard, Toyota Innova dan Proton Exora.

Komander Pasukan Polis Marin Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat berkata, tiga anggotanya melakukan serbuan awal sebelum dibantu tujuh lagi anggota, namun tiga suspek berusia 20 hingga 30-an berjaya melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran.

"Hanya pemandu lori kecil berkenaan yang merupakan lelaki tempatan berusia 24 tahun berjaya ditahan dan diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk direman bermula hari ini.

"Hasil pemeriksaan kita menemukan 45,000 peket rokok tidak bercukai kastam yang mengandungi 910,000 batang rokok. Nilai rampasan rokok dan empat kenderaan itu lebih RM1 juta," katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah Dua, Tampoi di sini hari ini.

Antara rokok seludup dari negara jiran yang dirampas di kawasan ladang kelapa sawit di Pekan Nenas, Pontian, Johor semalam.
Antara rokok seludup dari negara jiran yang dirampas di kawasan ladang kelapa sawit di Pekan Nenas, Pontian, Johor semalam.

Turut hadir, Komander PPM Wilayah Dua, Asisten Komisioner Abdul Rahman Mohamad dan Timbalannya, Superintendan Noor Azman Jamal.

Mohd Yusoff berkata, siasatan awal mendapati rokok seludup itu dibawa masuk dari negara jiran sebelum pihak penyeludup membuat temu janji dengan pengedar atau pembeli di sekitar negeri ini dan kawasan selatan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, lori kecil berkenaan yang berdaftar di negeri ini kemudian mengambil rokok berkenaan di Kuala Lumpur sebelum menyerahkan kepada pengedar dan pembeli yang membawa MPV masing-masing di kawasan ladang kelapa sawit itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

"Kejayaan rampasan itu adalah hasil maklumat dan risikan selama seminggu sebelum anggota membuat intipan termasuk mengekori salah sebuah MPV berkenaan," katanya.

Katanya, pihaknya percaya rokok seludup berkenaan adalah bekalan lama diperoleh sebelum penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan hanya dapat diedarkan selepas tempoh tersebut tamat.

"Ini kerana semasa tempoh PKP pemeriksaan ketat dijalankan di jalan raya selain kita melakukan Ops Benteng di kawasan perairan pantai timur dan pantai barat Johor bagi membanteras kegiatan penyeludupan," katanya.

Tambahnya, pihaknya sedang mengenal pasti dalang sindiket penyeludupan tersebut dan mengesan lokasi lain yang menjalankan modus operasi itu sekali gus memohon orang ramai yang melihat aktiviti mencurigakan agar memaklumkan segera kepada pihak berkuasa.