SPRM tahan empat pengarah syarikat seleweng minyak masak subsidi

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melumpuhkan satu sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi setelah menahan empat individu yang merupakan pengarah syarikat dalam Ops RBD semalam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya berkata, kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan berhubung kuota pembekalan minyak subsidi daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

“Kesemua individu berusia antara 30 hingga 41 tahun itu ditahan di sekitar Selangor dan Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Khusairi berkata, isu berhubung penyelewengan minyak masak bersubsidi merupakan isu ketirisan yang mengakibatkan kerajaan kerugian ratusan juta ringgit.

“Berdasarkan perkiraan kasar SPRM, sindiket ini telah mengaut keuntungan atas bayaran subsidi sebanyak RM21.6 juta sejak beroperasi selama tiga tahun di mana terdapat sembilan buah syarikat yang dikawal oleh sindiket ini,” katanya.

Beliau berkata, SPRM turut membekukan 12 akaun milik individu dan syarikat berjumlah lebih RM25 juta.

“Berdasarkan semakan dengan KPDNHEP, sindiket ini telah diberikan kuota perbekalan minyak masak sebanyak 1,000 tan sebulan. Sepatutnya, syarikat berkenaan perlu memproses dan membungkus semula minyak masak yang diberikan kepada bungkusan satu kilogram dan dibekalkan untuk kegunaan peruncit dan orang ramai khususnya masyarakat luar bandar.

"Namun minyak masak bersubsidi itu tidak dibungkus sebagaimana yang sepatutnya dan sebaliknya dikumpul dan dieksport ke luar negara.

Artikel Berkaitan:

"Ketirisan yang berlaku ini menyebabkan bekalan minyak masak amat berkurangan di pasaran dan menjadi keluhan rakyat dan peniaga kecil,” katanya.

Menurutnya, selain mendapat keuntungan berlipat kali ganda dengan menjualnya ke luar negara, syarikat-syarikat itu turut menuntut bayaran subsidi daripada kerajaan bagi urusan pembungkusan dan pembekalan minyak masak yang kononnya dibuat mereka.

“Kesannya dalam tempoh tiga tahun saja, sebanyak RM21.6 juta dituntut dan diselewengkan," katanya.

Ahmad Khusairi berkata, kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. Jika disabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih daripada 20 tahun dan didenda lima kali ganda nilai suapan,” katanya.

Dalam kes berasingan, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Norazlan Mohd Razali mengesahkan pihaknya menahan dua individu yang merupakan pengurus besar dan pengurus akaun sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Mereka disyaki menerima rasuah berjumlah lebih RM800,000 daripada syarikat pembekal berhubung pelaksanaan kontrak sistem jalur lebar sebuah agensi kerajaan yang bernilai jutaan ringgit.

“Kedua-dua lelaki tersebut ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya kira-kira jam 4.30 petang semalam," katanya.

Katanya, siasatan mendapati kesalahan tersebut disyaki dilakukan sejak 2012 hingga 2016.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.