Penjara 13 tahun, 13 sebatan kerana dadah

Hazizi dikenakan hukuman penjara 13 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana memiliki pelbagai jenis dadah.
Hazizi dikenakan hukuman penjara 13 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu kerana memiliki pelbagai jenis dadah.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki dikenakan hukuman penjara 13 tahun dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini kerana memiliki pelbagai jenis dadah, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed membuat keputusan itu selepas tertuduh, Hazizi Mohd Alwi, 38, mengaku bersalah atas tiga pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mengikut pertuduhan pertama, Hazizi bersama dua lagi rakannya, Engku Sri Shah Maria Engku Supian, 22, dan Engku Shah Marina Engku Supian, 21, memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine seberat 187.7 gram di sebuah rumah di Kampung Dadong Ayer Puteh, Kemaman kira-kira jam 7 malam pada 15 Oktober 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2)(r) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan sebatan rotan tidak kurang 10 kali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Hazizi bersama dua rakannya itu didakwa memiliki Methamphetamine seberat 17.87 gram pada tarikh, masa dan lokasi yang sama mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(1) akta yang sama.

Hazizi bersama dua rakannya itu turut didakwa memiliki dadah berbahaya jenis Heroin pada tarikh, masa dan lokasi yang sama Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta yang sama.

Dia dihukum penjara 13 tahun penjara dan dikenakan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama, 4 tahun penjara dan 3 sebatan untuk pertuduhan kedua dan 1 tahun (pertuduhan ketiga) dan kesemua hukuman penjara berjalan serentak dari tarikh ditangkap.

Manakala, dua rakan perempuannya yang juga adik-beradik, Engku Sri Shah Maria dan Engku Shah Marina dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan selepas pihak timbalan pendakwa raya menarik balik pertuduhan terhadap mereka.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa raya, Ahmad Fadhli Mahmud dan Rohaiza Abd Rahman manakala tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Bob Arumugam, manakala dua beradik berkenaan diwakili peguam dari Tetuan Mohd Yusoff Endut & Associates.