X

Kindly register in order to view this article
!

Balu pemain dram UG14 terima pencen Perkeso

Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuan (dua dari kiri) menyerahkan replika cek pencen penakat kepada Dayang Mariany sambil disaksikan Mazlan (tengah) di Kompleks Yayasan Warisan Johor, Johor Bahru hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Balu kepada pemain dram UG14 dan Kombo Orkestra Yayasan Warisan Johor (YWJ) menerima pencen bulanan RM2015.50 seumur hidup daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selepas suaminya meninggal dunia akibat komplikasi barah pada 18 Mei lalu.

Syed Hanafi Syed Abdullah, 54, yang pernah menggunakan nama pentas Hafiz semasa bersama-sama UG14 menghasilkan tiga album pada awal 90-an sebelum berkhidmat tujuh tahun dengan YWJ termasuk menjadi pemimpin orkestranya.

Hafiz meninggal dunia pada jam 9.15 malam ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini dan Allahyarham meninggalkan balu, Dayang Mariany Awang Sawarie dan tiga cahaya mata, Sharifah Farah Yasmeen, 18, Sharifah Marissa Yasmeen, 15, dan Sharifaf Tiara Qasrina, 7.

Mereka turut menerima wang faedah pengurusan mayat dan faedah penakat sebanyak RM910.22 daripada Perkeso.

Majlis penyerahan replika cek pencen bulanan seumur hidup itu disampaikan Pengarah Perkeso Johor, Tong Sing Chuan dengan disaksikan Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, Mazlan Bujang dan Pengarah YWJ, Sharil Nizam Abd Rahim.

Sementara itu, Sharifah Farah Yasmeen melahirkan rasa syukur kerana ibunya menerima wang pencen bulanan Perkeso seumur hidup.

"Alhamdulillah, dapatlah ibu saya yang hanya seorang suri rumah memperoleh pendapatan untuk menampung keluarga kami dan meneruskan kehidupan tanpa terbeban," katanya ketika ditemui selepas penyerahan tersebut.

Sharifah Farah Yasmeen mewarisi bakat seni bapanya apabila baharu selesai menjalani sesi temuduga untuk menjadi artis budaya YWJ yang diharapkan permohonan diterima bagi membantu ibu dan keluarganya.

Dalam pada itu, Mazlan berkata, kerajaan negeri amat mementingkan kebajikan kakitangannya termasuk yang bertugas dalam pelbagai agensi dan anak syarikat kerajaan negeri termasuk di YWJ.

"Kepentingan caruman Perkeso ini menjadi bukti bahawa sesiapa juga yang mencarum akan mendapat manfaat besar daripada segi pencen bulanan, faedah penakat dan pelbagai lagi manfaat kepada pekerja dan waris termasuk jika ditimpa musibah serta diberhentikan kerja.

"Alhamdulillah, keluarga Allahyarham Syed Hanafi terbela kebajikan mereka apabila mendapat pencen bulanan daripada Perkeso dan kerajaan negeri sebagai pendapatan keluarga," katanya.

Allahyarham menganggotai kumpulan UG14 bersama-sama Wom (penyanyi); Chico (gitar); Ijam (bass) dan Teddy (kibod) serta mereka popular dengan lagu Bunga Larangan pada pertengahan tahun 1990-an dan kekal diminati sehingga kini.

Allahyarham juga abang kepada Ajid, penyanyi kumpulan GET dan saudara tiri kepada pemain gitar Search, Din dan Kid.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus