Beri kelonggaran pelanggan berkeluarga duduk satu meja: Presma

JAWAHAR ALI TAIB KHAN
JAWAHAR ALI TAIB KHAN
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) menyambut baik keputusan kerajaan membenarkan semua restoran dan kedai makan beroperasi sehingga jam 12 tengah malam bermula esok.

Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, tempoh masa itu dilihat memadai berbanding sehingga jam 10 malam sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum ini.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan perlu memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) berkaitan jumlah had pelanggan dari satu keluarga untuk berada di satu meja bersama.

“Ada pelanggan yang datang dengan keluarga dalam lima orang tetapi setakat ini, hanya dibenarkan dua orang duduk di satu meja.

“Kalau keluarga, jadi sulit pula nak pisahkan mereka. Oleh itu saya harap kerajaan dapat memberi sedikit kelonggaran kepada pelanggan berkeluarga.

“Berkenaan tempoh masa operasi sehingga jam 12 malam, kami menyambut baik dan memadai dalam keadaan kita mahu memutuskan rangkaian pandemik Covid-19,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, semua kedai makan di bawah Presma menitikberatkan kesejahteraan pelanggan dan kebajikan pekerja dengan mematuhi semua SOP ditetapkan.

Sementara itu, Pemilik Restoran Hakim, Datuk Hakimsa Abdul Karim turut meluahkan rasa syukur di atas keprihatinan kerajaan apabila memberikan tambahan dua jam untuk kedai makan beroperasi.

Artikel Berkaitan:

Beliau optimis sekiranya kes jangkitan Covid-19 di negara ini semakin berkurangan, kerajaan akan melanjutkan lagi tempoh masa berkenaan.