Terengganu benarkan operasi pasar malam, kedai gunting

Peniaga pasar malam kini boleh beroperasi dengan SOP yang ditetapkan
Peniaga pasar malam kini boleh beroperasi dengan SOP yang ditetapkan
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Kerajaan Terengganu akan membenarkan perkhidmatan menggunting rambut dan salon kecantikan serta pasar pagi, pasar malam dan bazar ria kembali beroperasi bermula esok.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, walaupun hampir kebanyakan sektor ekonomi dibuka, peniaga yang terlibat perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan pihak berkuasa tempatan (PBT) di daerah masing-masing dan kerajaan.

Menurutnya, kerajaan kini dalam proses untuk memaklumkan kepada semua PBT supaya dapat berunding dengan peniaga terlibat dalam minggu ini supaya pematuhan SOP yang ditetapkan dapat disebarkan.

"Kami berpendapat, kita sudah boleh buka pasar malam, pasar minggu dan sebagainya dengan mematuhi SOP yang akan dijelaskan nanti oleh PBT di daerah masing-masing.

"Ia setelah melibatkan kejayaan pelaksanaan pasar tani percubaan di Hiliran, Kuala Terengganu dan pasar malam percubaan di pekarangan Kompleks Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak minggu lepas.

"Pasar tani, pasar pagi, pasar malam dan sebagainya akan dibuka di tempat asal. Bagaimanapun, pelaksanaannya bergantung pada PBT, mungkin boleh dibuat penggiliran, bagi mengelakkan kesesakan," katanya dalam sidang media yang diadakan di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Menurutnya, antara SOP yang perlu diikuti ialah pasar mesti terbuka, penjarakan antara gerai perlu 1.5 hingga 2 meter, berpagar atau merentangkan tali keselamatan bagi laluan masuk dan keluar.

Selain itu katanya, penyediaan cecair pembasmi kuman serta peniaga dan pembeli yang mempunyai suhu 37.5 ke atas tidak dibenarkan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, mengulas mengenai perkhidmatan menggunting rambut dan salon kecantikan yang akan beroperasi esok, Alias berkata, peniaga perlu mematuhi syarat yang ditetapkan termasuk memakai PPE (sut peralatan perlindungan diri) bagi mengelakkan jangkitan.

Katanya, pelanggan perlu membuat temu janji terlebih dahulu bagi mengelakkan berkumpul dan berlaku kesesakan dalam kedai.

"Boleh dikatakan semua sektor dibuka, yang penting adalah kawalan sendiri. Majlis Keselamatan Negara (MKN) belum keluarkan SOP, jadi kita akan keluarkan SOP sendiri melalui PBT.

"Maklumat lanjut tentang SOP akan dikeluarkan oleh PBT masing-masing dan pengusaha gunting rambut perlu ambil maklum tentang SOP kedai gunting rambut dan salon kecantikan," katanya.