Rapid Rail tiada kuasa ubah peraturan penjarakan sosial

Ismail Sabri ketika sidang akhbar harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika sidang akhbar harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Rapid Rail Sdn Bhd tidak mempunyai kuasa untuk mengubah peraturan penjarakan sosial di dalam tren dan stesen kendaliannya, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, kerajaan memahami kerugian yang ditanggung syarikat itu yang kekurangan jumlah penumpang susulan arahan peraturan tersebut namun setiap dasar yang dibuat kerajaan tidak boleh diubah mengikut kehendak masing-masing.

"Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah perkara itu dan jika mereka mahu membuat sebarang perubahan, mereka perlu memohon kepada Majlis Keselamatan Negara, bukan tiba-tiba umum (keputusan sendiri)," katanya pada sidang akhbar harian di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, pengurangan jumlah penumpang susulan arahan peraturan penjarakan sosial bukan sahaja dirasai perkhidmatan tren malah syarikat penerbangan mengalami nasib yang sama.

"Apabila kita hadkan boleh membawa sehingga 66 peratus sahaja kapasiti pesawat untuk membawa penumpang, syarikat penerbangan juga mengalami kerugian.

"Kita faham dan sedang berbincang mengenai perkara ini tetapi janganlah membuat keputusan sendiri tanpa merujuk kepada kerajaan kerana ini adalah tindakan yang salah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan syarikat itu yang memaklumkan bahawa ia akan menamatkan peraturan penjarakkan sosial di dalam tren dan stesen kendaliannya bermula Rabu.

Ismail Sabri juga berkata, kerajaan membenarkan beberapa kes tertentu sahaja bagi warga asing yang ingin memasuki Malaysia dan warganegara yang ingin ke luar negara dengan syarat mendapat kelulusan Jabatan Imigresen Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Warga asing kita masih tidak benarkan kecuali para diplomat, ekspatriat dan peserta Malaysia Rumah Keduaku (yang) kita beri sikit pengecualian sebab mereka ada rumah di sini, jadi mereka tinggal di sini.

“Bagi rakyat Malaysia yang nak ke luar negara, kita juga menutup pintu kepada rakyat untuk ke luar negara tetapi kita mempunyai banyak permohonan, misalnya pelajar yang terpaksa pulang ke universiti mereka di luar negara untuk mengambil peperiksaan,” katanya. - Bernama