PKPP: Aliran trafik di LPT1, LPT2 dijangka meningkat 15 peratus

Aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 dijangka melonjak hingga 15 peratus susulan pelaksanaan PKPP esok. Gambar Kecil: Roslee Chik
Aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 dijangka melonjak hingga 15 peratus susulan pelaksanaan PKPP esok. Gambar Kecil: Roslee Chik
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Aliran trafik di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 dijangka melonjak hingga 15 peratus susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa esok.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, jangkaan lonjakan trafik itu berikutan orang ramai mengambil peluang untuk pulang ke kampung masing-masing susulan kelonggaran perjalanan rentas negeri diberikan kerajaan sepanjang PKPP.

"Bermula esok, semua sekatan jalan raya yang dijalankan sebelum ini akan ditarik balik dan orang ramai bebas merentas negeri seperti biasa.

“Kita jangkakan kemasukan ini dari Pantai Barat yang menggunakan LPT 1 dan LPT 2 untuk ke Kelantan dan Terengganu terutama pada hujung minggu untuk pulang ke kampung masing-masing,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.