Saya masuk Bersatu bukan sebab jawatan: Syed Abu Hussin

Syed Abu Hussin (tengah) menyerahkan sumbangan kepada Mudir Pusat Tahfiz Bukit Gantang, Shahril Yassin di Pusat Khidmat Perikatan Nasional, Parlimen Bukit Gantang di sini hari ini.
Syed Abu Hussin (tengah) menyerahkan sumbangan kepada Mudir Pusat Tahfiz Bukit Gantang, Shahril Yassin di Pusat Khidmat Perikatan Nasional, Parlimen Bukit Gantang di sini hari ini.
A
A
A

TAIPING - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menjelaskan penyertaannya ke dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan disebabkan jawatan yang ditawarkan.

Sebaliknya beliau berkata, keputusan menjadi ahli Bersatu dibuat bagi memperkukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dirasakan lebih baik daripada kerajaan sebelum ini mewakili majoriti kehendak rakyat khususnya dalam kalangan orang Melayu dan beragama Islam.

Beliau berkata, jawatan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang diberikan hanyalah untuk membantu golongan nelayan kerana lebih 30 peratus penduduk di kawasan Parlimen Bukit Gantang bekerja sebagai nelayan.

"Sebenarnya jawatan Pengerusi LKIM untuk saya supaya menjadi ahli Bersatu itu terlalu kecil. Penularan isu mengatakan bahawa saya dibeli dengan jawatan Pengerusi LKIM itu tak betul. Saya pada bila-bila masa sahaja boleh melepas jawatan ini, tak penting bagi saya.

"Sebelum ini saya ditawarkan jawatan lain, tetapi saya tak nak terima. Oleh kerana nak membantu nelayan ini supaya mereka diberikan perhatian khusus, jadi saya terima. Itulah sebenarnya keadaan yang berlaku. Saya tidak disogok, tidak diumpan dan tidak dipujuk dengan apa-apa janji. Saya dengan rela hati atas dasar nak memperkukuhkan kerajaan PN," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Sekolah Rendah Agama Rakyat, Pusat Tahfiz dan Pondok dalam Parlimen Bukit Gantang di Pusat Khidmat Perikatan Nasional, Parlimen Bukit Gantang di sini hari ini.

Dalam perkembangan sama, Syed Abu Hussin Hafiz menjelaskan tindakan menyertai Bersatu itu bagi membantu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus kekal mentadbir kerajaan setelah melihat kejayaan menangani pandemik koronavirus (Covid-19) sehingga mendapat pengiktirafan dunia.

"Apa salahnya kita semua memberikan sokongan kepada beliau sebagai perdana menteri dan beri masa secukupnya untuk membuktikan kebolehan beliau. Orang lain kita dah cuba banyak kali dan Muhyiddin kita belum cuba lagi.

Artikel Berkaitan:

"Saya menggesa ahli Parlimen yang lain untuk mengorbankan kepentingan masing-masing. Jangan fikir parti masing-masing, fikirlah bagaimana kita dapat kukuhkan kerajaan yang ada demi kepentingan rakyat dan masa depan negara," katanya.

Sementara itu, Syed Abu Hussin Hafiz mendedahkan tidak mempunyai hasrat untuk memegang jawatan tertinggi sama ada jawatankuasa bahagian atau ketua bahagian Bersatu kerana lebih rela jadi ahli biasa untuk membantu rakyat.

Bagaimanapun, beliau kini sedang berusaha memperkukuhkan PN di kawasan Parlimen Bukit Gantang bersama-sama UMNO dan Pas.

Katanya, mereka ini bergerak bersama-sama melaksanakan aktiviti dan mengagihkan bantuan kepada mereka untuk disalurkan kepada rakyat.

Pada 6 Jun lalu, Syed Abu Hussin Hafiz menyerahkan borang menyertai Bersatu kepada Muhyiddin di Putrajaya.

Sebelum ini, bekas Ketua UMNO Bahagian Bukit Gantang itu mengumumkan keluar parti dan menjadi wakil rakyat bebas pada 27 Jun 2018.