Kisah 100 hari tok abah Malaysia

Muhyiddin menunjukkan tanda bagus selepas selesai Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14. - Foto Bernama
Muhyiddin menunjukkan tanda bagus selepas selesai Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14. - Foto Bernama
A
A
A

KERAJAAN ini mungkin bukan kerajaan yang anda pilih tetapi saya mahu anda semua tahu bahawa kerajaan ini mengambil berat tentang anda. Saya minta sokongan anda, marilah kita bekerjasama berganding bahu menghadapi krisis ini bersama-sama.”

Demikian dua potong ayat yang dilontarkan Perdana Menteri kelapan Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara langsung pada 27 Mac lalu ketika 10 hari negara melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memerangi virus Covid-19.

Lebih tepat lagi, ucapan itu dibuat ketika 27 hari beliau diangkat sebagai Perdana Menteri selepas melafazkan sumpah jawatan itu pada 1 Mac lalu di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Kisah perjalanan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan menggantikan negarawan terbilang, Tun Dr Mahathir Mohamad merupakan satu cerita yang mencipta sejarah baharu.

Bermula daripada episod Dr Mahathir letak jawatan pada 24 Januari lalu, rakyat berteka-teki siapakah yang bakal menggantikan individu berusia 94 tahun itu dan mampukah penggantinya memacu negara di landasan betul.

Mengambil alih teraju kepimpinan negara bukan pada masa terbaik ekoran ancaman Covid-19, Muhyiddin terpaksa memilih jalan sukar apabila ‘mematikan’ aktiviti ekonomi dengan pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu. Akibat tindakan drastik itu, negara mengalami kerugian RM2.4 bilion setiap hari sepanjang PKP.

Namun, selepas lebih tiga bulan, PKP akhirnya membuahkan hasil apabila Malaysia berjaya meratakan lengkungan jangkitan virus Covid-19.

Sejak itu, netizen mula jatuh hati dengan apa yang dilakukan oleh Muhyiddin sehingga menggelarkannya ‘Tok Abah’ atau ‘Abah’ malah ternanti-nanti sosok diri ahli politik berusia 73 tahun itu melalui televisyen dan media sosial.

Artikel Berkaitan:

Ketika beliau hadir sebagai Perdana Menteri, beliau berhadapan dengan krisis politik, ekonomi dan kesihatan malah beliau sanggup mengambil tindakan tidak popular yang pada awalnya diragui tetapi akhirnya membuktikan bahawa itu merupakan pendekatan yang terbaik untuk Malaysia.

Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas selesai Perutusan Khas Perdana Menteri. - Foto Bernama
Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas selesai Perutusan Khas Perdana Menteri. - Foto Bernama

“Dalam konteks ekonomi dan kesihatan, kita boleh menamakan beliau sebagai pemimpin yang pragmatik yang pada awalnya berhadapan dengan pelbagai rintangan tetapi akhirnya beliau membuktikan bahawa isu yang mesti diutamakan ketika krisis adalah isu rakyat Malaysia.

“Saya percaya sepanjang 100 hari itulah antara kejayaan terbesar kepimpinan beliau walaupun cabaran dalam konteks politik itu masih lagi berterusan dan komunikasi beliau dengan masyarakat melalui perutusan dengan penggunaan bahasa mudah dilihat mampu mendekatkan diri antara pemimpin dengan masyarakat. Sebab itu beliau dipanggil Tok Abah atau Abah,” kata penganalisis politik, Profesor Dr Sivamurugan Pandian kepada Sinar Harian semalam.

Cabaran ekonomi

Dalam tempoh 100 hari itu juga, Muhyiddin bukan sahaja mengubah isu kesihatan Covid-19 sebagai ujian bahkan menjadikannya peluang untuk membuktikan kemampuan beliau.

Perkara pertama yang beliau lakukan adalah melantik pakar-pakar ekonomi untuk mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Negara yang berperanan merangka dasar fiskal jangka pendek dan panjang bagi menangani krisis kemelesetan ekonomi.

Malah keputusan melantik Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang sebelum itu merupakan Ketua Eksekutif CIMB Group sebagai Menteri Kewangan dilihat sebagai satu tindakan yang bijak berdasarkan kepakaran beliau dalam bidang kewangan.

Pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Hazrul Shahiri pula berkata, kemuncak krisis ekonomi negara adalah ketika kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKP bermula 18 Mac lepas yang telah mengganggu keseluruhan kitaran ekonomi domestik berikutan penutupan aktiviti perkilangan, perniagaan dan pekerjaan.

No Image Caption

Malah krisis ekonomi yang disebabkan oleh Covid-19 adalah jauh lebih besar daripada krisis kewangan 1998 dan kemelesetan ekonomi 1980-an.

Bagaimanapun, pelancaran Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat bernilai RM250 bilion telah membuktikan komitmen dan keprihatinan kerajaan di bawah pimpinan Muhyiddin untuk memulihkan ekonomi negara.

Bagi Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam, Adnan Mat, Muhyiddin ibarat seorang bapa yang sentiasa prihatin terhadap kebajikan penjawat awam di negara ini.

Perkara tersebut dapat dilihat menerusi tindakan penjawat awam yang setiasa menyokong keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri kerana ia dipenuhi dengan sifat keprihatinan terutama dalam usaha menangani penularan wabak Covid-19.

Ini juga termasuk dengan kecekalan tanpa lelah yang dibuktikan oleh barisan hadapan negara tidak kira warga Kementerian Kesihatan Malaysia, polis dan tentera.

“Pada saya Perdana Menteri sentiasa mendengar keluh kesan kakitangan kerajaan sepanjang 100 hari mentadbir Malaysia tanpa memberikan tekanan kepada penjawat awam untuk terus melaksanakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” kata Adnan.

Walaupun mungkin telah menempa kejayaan dalam menangani Covid-19, namun Muhyiddin kini bakal berdepan dengan satu lagi cabaran besar apabila perbezaan majoriti kerajaan dan pembangkang di Dewan Rakyat cuma dua kerusi, dan ia dianggap kurang stabil.

Setakat 18 Mei lalu, PN memiliki 113 kerusi, PH 108 kerusi manakala seorang bebas.

Lebih memberi tamparan, minggu lalu Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh daripada parti Bersatu, iaitu parti pimpinan Muhyiddin sendiri, meletakkan jawatan, walaupun masih kekal menyokong Muhyiddin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin

Cemas

Bagaimanapun, Tok Abah Muhyiddin mungkin boleh menarik nafas lega apabila ketika PH mendakwa mempunyai majoriti untuk merampas kerajaan, tiba-tiba Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang keluar PKR menjadi Ahli Parlimen Bebas serta menyokong PN.

Situasi-situasi tersebut merupakan satu loceng amaran buat Muhyiddin memandangkan PN memiliki majoriti tipis dan bila-bila masa sahaja kerajaannya boleh runtuh oleh perbuatan ‘katak politik’.

Dalam pada itu, Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar yang berkongsi pendapatnya dengan Sinar Harian melihat tempoh 100 hari pemerintahan Muhyiddin merupakan keadaan yang mencemaskan buat bekas rakan seperjuangannya dalam PH itu. Mahfuz ialah bekas Timbalan Menteri Sumber Manusia kerajaan PH manakala Muhyiddin pula Menteri Dalam Negeri.

“Tempoh 100 hari ini meletakkan beliau dalam keadaan yang mencemaskan. Dalam keadaan yang tidak ada ketentuan jangka hayat umur kerajaan.

“Sebabnya tidak ada satu kesepakatan yang jelas dalam PN, apatah lagi dengan kenyataan-kenyataan tegas yang dibuat oleh pemimpin UMNO yang mengatakan bahawa mereka tidak menyertai PN. Mereka hanya sekadar menyertai kerajaan atas semangat peribadi ahli Parlimen, bukan atas nama parti,” katanya.