Adik beri 'bayangan' nak pergi

Kebaikan Allahyarham Aqil Ahda dan beri 'hint' untuk pergi mendapat perhatian ramai.
Kebaikan Allahyarham Aqil Ahda dan beri 'hint' untuk pergi mendapat perhatian ramai.
A
A
A

TEMERLOH - Bercerita kisah akhirat, bertanyakan syurga dan memohon maaf merupakan antara pelakuan pelik yang dikesan oleh ahli keluarga seorang remaja, Aqil Ahda Mohamed Faiza, 19, sebelum meninggal dunia pada 3 Jun pada jam 12.45 tengah malam di Hospital Temerloh.

Kisah kematian Aqil Ahda sehingga kini tular di laman sosial malah dicemburui netizen kerana kebaikannya.

Kakaknya, Asilah Amanina, 24, tidak menyangka perkongsian dan luahan hati mengenai pemergian adik kesayangannya membuatkan ramai netizen memberi sokongan kepada keluarganya.

"Arwah tiada sebarang penyakit dan tidak pernah menunjukkan sebarang tanda-tanda ada penyakit.

"Sebelum kematiannya, Aqil bersama saya, dia masa itu sedang mengambil sudu, tiba-tiba rebah, Aqil tarik nafas sekali je selepas itu nadinya sudah tiada.

"Semasa solat Isyak, dia ada bergurau dengan ayah dan cakap, 'Aqil nak mati dah ni' tapi kami fikir ia gurauan semata dan tidak sangka itu ialah kata-kata terakhirnya sebelum meninggalkan kami," katanya.

Bercerita kepada Sinar Harian, Allahyarham merupakan adik bongsu daripada tiga beradik itu tinggal bersama neneknya pada November tahun lalu.

"Aqil sangat penyabar orangnya, tak suka cakap buruk pasal orang termasuk adik-beradik dan keluarga sekali pun. Tak pernah melawan. Kesabarannya itu yang membuatkan Aqil miliki hati yang baik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, semasa upacara pengebumian, dia terkejut kehadiran ramai kenalan Allahyarham yang memberi penghormatan terakhir di tanah perkuburan yang turut berkongsi kebaikan Aqil iaitu suka membantu rakan dalam kesusahan.

Katanya, Aqil juga seorang yang suka memberi wang sedangkan dia tidak bekerja.

"Itu yang membuatkan ramai memuji kebaikan Aqil. Malah sebelum meninggal, Aqil sempat memohon maaf. Macam tahu-tahu dia mahu 'pergi'.

"Ramadan kali ini tak pernah tinggal solat tarawih berjemaah, 10 malam terakhir bersungguh dia tunaikan dan dia banyak membaca hal ehwal agama," katanya.

Dalam pada itu, kakak sulung Allahyarham, Faleeyana juga berkongsi kesedihan dan menyifatkan pemergian adiknya sukar digambarkan.

Katanya, ustaz yang mengetuai mandian jenazah adiknya turut memberitahu bahawa raut wajah Aqil tersenyum yang bermakna urusannya di dunia telah selesai.

"Ustaz berkata, kalau begini senyum dan manis raut wajah dia, itu tandanya hati dia dah lapang," ujarnya.

Sebelum ini, perkongsian pemergian remaja ini mencuri perhatian netizen kerana ramai merasakan Allahyarham seorang yang baik dan kebaikannya itu memberi pengajaran.