Covid-19: Kes positif terendah, hanya 7 kes baharu

Dr Noor Hisham semasa mengadakan sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. - Foto Bernama
Dr Noor Hisham semasa mengadakan sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Malaysia hari ini merekodkan kes positif baharu satu digit serta terendah iaitu tujuh kes sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada tujuh kes baharu itu, dua merupakan kes import manakala lima penularan tempatan.

"Ini merupakan jumlah kes terendah yang pernah dicatatkan setakat ini. Ini menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 8,329 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,518 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

"Ingin dimaklumkan daripada tujuh kes baharu yang dilaporkan, dua kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara manakala lima kes penularan di dalam negara pula adalah di kalangan warganegara Malaysia," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di kementeriannya di sini hari.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat

20 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj pada hari ini.

Katanya, ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari Covid-19 dan telah discaj daripada wad adalah sebanyak 6,694 kes atau 80.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 117 kes," katanya.

Artikel Berkaitan: