Lelaki ditahan tetak rakan, rempuh enam kenderaan

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

LUMUT - [DIKEMASKINI] Seorang lelaki parah akibat ditetak rakannya menggunakan pisau selepas berlaku perselisihan faham berkaitan pembelian insurans di sebuah rumah di Marina Villa di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, dalam kejadian sekitar jam 12 tengah hari itu, suspek lelaki berusia 20-an dikatakan telah berjanji dengan mangsa untuk berbincang berkaitan pembelian insurans.

"Bagaimanapun berlaku perselisihan faham antara mereka menyebabkan suspek menetak mangsa dan terus melarikan diri.

"Mangsa yang cedera di muka dan tangan telah menerima rawatan lanjut di Hospital Seri Manjung," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, suspek yang melarikan diri ke arah pekan Sitiawan menggunakan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Vellfire telah memandu secara melulu hingga melanggar hampir enam kenderaan persendirian di simpang empat lampu isyarat berdekatan sebuah pasar raya.

"Lelaki itu kemudiannya cuba menyembunyikan diri ke arah sebuah bangunan sebelum melarikan sebuah kenderaan jenis Proton milik seorang wanita," katanya.

Beliau berkata, tindakan pantas polis berjaya menahan suspek dalam keadaan cedera di sebuah kawasan di Seri Manjung.

Katanya, kenderaan yang dilarikan turut dijumpai semula di sebuah kawasan ladang kelapa sawit di Pekan Gurney.

Artikel Berkaitan:

"Kita turut menemui dan merampas pisau yang digunakan dalam kes ini, motif kejadian masih dalam siasatan.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera parah dan melakukan rompakan tanpa senjata api," katanya.