Industri pelancongan di Malaysia kini boleh bernafas semula

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA) menyifatkan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula Rabu ini sebagai berita baik buat industri pelancongan negara.

Presidennya, Uzaidi Udanis berkata, pihaknya amat berterima kasih dengan kelonggaran yang diberikan kerajaan dalam PKPP terutamanya kepada industri pelancongan negara.

Beliau berkata, kini pihak industri akan dapat mengatur promosi untuk menggalakkan rakyat Malaysia melancong bagi menyelamatkan industri pelancongan di Malaysia menerusi kempen #safetourism.

“Setakat ini, kita mempunyai 640,000 daripada 1.2 juta syarikat yang berdaftar di bawah perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan melibatkan diri dengan industri pelancongan sama ada secara langsung atau tidak langsung.

“Dengan adanya PKPP ini, industri pelancongan boleh bernafas semula,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Uzaidi bagaimanapun berkata, semua penggiat industri pelancongan serta usahawan diingatkan untuk terus mematuhi syarat dan SOP yang ditetapkan dengan ketat bagi memastikan jangkitan wabak koronavirus (Covid-19) tidak menular semula.

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Malaysia (MATA), Datuk Mohd Khalid Harun berkata, pihaknya turut menyambut baik pengumuman berkaitan PKPP yang membenarkan rentas negeri bermula 10 Jun ini.

“Langkah berkenaan sekali gus membuka peluang pelancongan domestik bermula dengan mengamalkan kebiasaan baharu.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, kita juga berterima kasih dengan kerajaan kerana cakna dalam menyediakan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang boleh dimanfaatkan industri pelancongan,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.