Shahruddin ibarat ‘jaring perangkap’ buat Muhyiddin

Jeniri Amir
Jeniri Amir
A
A
A

SEORANG penganalisis politik menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh yang meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya sebagai ‘jaring perangkap’ buat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dr Jeniri Amir berkata, keputusan Shahruddin meletakkan jawatan sebagai timbalan menteri kelihatan seperti mahu mewujudkan rasa puas hati untuk kedua-dua belah pihak iaitu pihak Tun Dr Mahathir Mohamad dan pihak Muhyiddin yang dikhuatiri juga sebagai strategi untuk memerangkap Perdana Menteri apabila tiba waktunya.

“Bukan soal prinsip yang beliau hendak tunjukkan termasuk menerusi hujah-hujah yang diberikan kerana hujah-hujah yang diberikan lemah.

“Kewibawaan Shahruddin juga diragui seolah-olah beliau tidak memikirkan perkara itu secara lebih panjang ketika menerima jawatan sebagai timbalan menteri itu dahulu,” katanya mengenai peletakan jawatan Shahruddin.

Bercakap kepada Sinar Harian semalam, beliau berkata, tindakan Shahruddin juga keputusan besar kerana ia memberi implikasi bukan sahaja kepada kedudukan politik tetapi juga pendapatan dan kewangan beliau

Terdahulu, Shahruddin pada satu sidang media memaklumkan bahawa beliau masih lagi bersama dengan Perikatan Nasional (PN) susulan peletakan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya berkuat kuasa kelmarin.

Dalam satu kandungan surat yang ditujukan kepada Perdana Menteri, Shahruddin memaklumkan akan kekal duduk di kerusi penyokong kerajaan PN di Dewan Rakyat dan turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Muhyiddin yang memberi peluang kepadanya untuk berada dalam Jemaah Menteri.

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Shahruddin ketika dihubungi turut mengesahkan kandungan surat itu serta memaklumkan ia hanya untuk makluman kepada Muhyiddin yang juga merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Jeniri berpendapat, tindakan Shahruddin itu penuh kontradiksi kerana sebagai ahli politik, pemimpin tersebut tidak boleh berada di ‘jalan tengah’ kerana keputusan itu bukan membabitkan kepentingan dirinya sahaja, malah rakyat yang diwakili di bahagiannya dan juga kepentingan negara.

Beliau berkata, Shahruddin perlu mengambil jalan lebih jelas dan tidak hanya mengeluarkan kenyataan yang dilihat ingin menyenangkan hati Dr Mahathir ketika ada yang berpendapat bahawa Dr Mahathir sudah tidak lagi relevan.

“Beliau sewajarnya membuat satu keputusan yang lebih muktamad. Dia tidak boleh berada di tengah-tengah, seolah-olah berada di atas pagar.

“Beliau seharusnya membuat keputusan sama ada menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad,” katanya.