X

Kindly register in order to view this article
!

Gagal pindah balak bernilai lebih RM200,000

Kakitangan JPNP mengukur sebahagian 160 balak yang disyaki cuba dipindahkan secara haram di Hutan Simpan Lepar. - Foto JPNP
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menumpaskan cubaan memindahkan 160 tual balak pelbagai spesies secara haram di Hutan Simpan Lepar di sini semalam.

Pengarahnya, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata, kesemua balak pelbagai spesies yang berjaya dikesan membabitkan nilai rampasan lebih RM200,000.

Menurutnya, dua unit penguat kuasa Pahang Timur dan Pejabat Hutan Daerah (PHD) Kuantan, Pekan dan Maran diarahkan ke hutan itu selepas menerima aduan orang awam berhubung aktiviti tersebut.

"Hasil pemeriksaan lanjut menemui kesan tebangan pokok yang baru sahaja dilakukan dan dua lokasi simpanan balak spesies Meranti, Sepetir, Kelat, Merawan, Balau dan Kempas terletak dalam hutan dan tempat simpanan balak (matau) yang sedia untuk dipindahkan.

"Semakan dilakukan mendapati lokasi hutan di Kompartment 91, Hutan Simpar Lepar merupakan kawasan tawaran lelongan kayu kepada Amanah Saham Pahang (ASPA) yang dikeluarkan JPNP sebelum ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Hizamri berkata, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung penemuan itu sama ada wujud individu yang mengambil kesempatan membuat tebangan secara haram atau bertindak menumpang atau kawasan lelongan kayu ASPA.

Dalam pada itu, Mohd Hizamri menjelaskan, pihaknya turut menemui jengkaut yang dipercayai digunakan untuk melakukan aktiviti tersebut.

Katanya, kesemua jentera berkenaan akan disita di pusat simpanan JPNP di Pejabat Ladang Kemasul, Temerloh.

"Tiada tangkapan dibuat dan kes berkenaan disiasat mengikut Akta Perhutanan Negara 1984. Usaha mengesan pihak melakukan kegiatan akan dilakukan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan pihaknya turut menyita jentolak dan lori yang terbabit dengan aktiviti menceroboh di Kompartment 141 Hutan Simpan Berkelah dipercayai untuk dijadikan ladang kelapa sawit.

Katanya, kawasan seluas kira-kira 40 hektar sudah dibersihkan dan diratakan sebelum aktiviti menanam dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu.

"Kita memandang serius kegiatan meneroka hutan simpan di negeri ini. Sebarang aktiviti penerokaan tidak dibenarkan dilakukan oleh mana-mana pihak.

"Saya mengingatkan kepada masyarakat tindakan tegas mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 akan dikenakan kepada mereka menceroboh dan melakukan apa juga aktiviti dalam hutan simpan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus