Lima kereta rosak dirempuh bas kilang

Keadaan bas dan salah sebuah kereta yang rosak teruk akibat kemalangan petang tadi.
Keadaan bas dan salah sebuah kereta yang rosak teruk akibat kemalangan petang tadi.
A
A
A

GEORGETOWN - Lima buah kereta yang diparkir di tepi jalan rosak selepas dirempuh sebuah bas kilang dalam kejadian di Tingkat Paya Terubong di sini petang tadi.

Kemalangan yang berlaku jam 6.55 petang itu dikatakan berpunca daripada kerosakan brek bas hingga menyebabkan pemandunya terbabas.

Difahamkan pemandu bas berusia 67 tahun cuba mengawal keadaan dengan melanggar binaan konkrit di kiri jalan namun bas berkenaan terus meluncur sebelum merempuh lima buah kereta yang diletakkan di bahu jalan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, akibat kejadian itu pemandu bas dan tujuh penumpang mengalami kecederaan.

"Siasatan mendapati bas berkenaan dipandu dari arah Lagenda Heights menghala ke arah Jalan Paya Terubong.

"Apabila sampai di Tingkat Paya Terubong, pemandu mendapati brek bas mengalami kerosakan dan menyebabkan ia hilang kawalan sebelum merempuh lima kenderaan lain," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.

Soffian berkata, lima kereta terbabit mengalami rosak teruk malah ada yang remuk selepas tersangkut pada pokok dan besi penghadang parit.

Katanya, siasatan lanjut mengenai kejadian itu berkenaan sedang dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel Berkaitan: