Suami isteri maut dirempuh kereta

Keadaan motosikal mangsa akibat kemalangan itu. Gambar kecil, Tio Houi (kiri) dan Yok Na.
Keadaan motosikal mangsa akibat kemalangan itu. Gambar kecil, Tio Houi (kiri) dan Yok Na.
A
A
A

JASIN - Sepasang suami isteri warga emas maut apabila motosikal yang dinaiki terlibat kemalangan dengan sebuah kereta di kilometer 4, Jalan Jasin-Bemban di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.45 pagi itu, mangsa Wong Yoo Na@Wong Yok Na, 71, bersama isterinya Tio Houi, 65, maut di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Arshad Abu berkata, pasangan terbabit yang bekerja sebagai pekebun getah dikatakan dalam perjalanan dari rumahnya di Taman Maju menuju ke kebun durian miliknya di Tiang Dua.

"Kejadian berlaku di kawasan selekoh di hadapan Petronas Jasin Bestari dan ia berpunca apabila kereta terbabit yang dipandu seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai telah hilang kawalan lalu terbabas dan masuk ke laluan bertentangan sehingga melanggar mangsa.

"Ekoran kejadian itu, kedua-dua mangsa telah tercampak ke bahu jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Arshad berkata, pemandu kereta serta penumpangnya yang juga seorang wanita berusia 25 tahun cuma mengalami kecederaan ringan manakala mayat kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Jasin bagi tujuan bedah siasat.

"Pemandu kereta terbabit telah ditahan untuk siasatan lanjut dan sampel darah pemandu telah diambil untuk ujian alkohol.

"Polis tidak menolak kemungkinan mengantuk menjadi punca kemalangan dan saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes akan disiasat secara lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.