PKP ajar rakyat erti rindu

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

BENARLAH raya tanpa kampung itu hilang serinya. Tiada babak bersesak-sesak di jalan raya untuk pulang ke kampung halaman bertemu ibu dan ayah tercinta seperti tidak lengkap drama hari raya.

Sebab itu tidak hairanlah kenapa ramai yang nekad mencuba nasib merentas negeri hanya semata-mata mahu ‘check in’ di kampung walaupun ia ternyata ‘haram’ buat masa ini.

Buktinya angka kenderaan yang cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung seperti mana diumumkan oleh Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sentiasa meningkat setiap hari.

Nilai kompaun RM1,000 yang dikenakan buat mereka yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti didengar tidak apa-apa. Katanya raya tetap raya.

Jika dulu ada yang berbulan-bulan tidak pulang ke kampung pun tidak mengapa, tapi entah kenapa rindu pada kampung itu terlalu kuat bertandang pada waktu PKP, ditambah pula dalam suasana hari raya.

Kampung yang dulunya hanya dipisahkan dengan satu negeri pun jarang sekali dijejak, tapi sekarang seperti bermain cinta, ‘kerana kau..lautan api sanggup ku renangi, kerana kau...gunung yang tinggi sanggup ku daki, kerana kau...lurah yang dalam sanggup ku turuni’.

Seorang penjawat awam sanggup memalsukan surat kebenaran merentas negeri untuk pulang menyambut raya di kampungnya di Pendang, Kedah.

Lelaki berusia lingkungan 40-an dan bekerja sebagai kerani di Putrajaya itu dipercayai berbuat demikian untuk membolehkan dia dan keluarga tinggal lebih masa di kampung bagi menyambut Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

Ada juga yang sanggup melanggar perintah PKP hanya kerana rindukan kekasih hati dan rakan-rakan.

Pasangan usahawan Syafiz Zorkafli dan Hana Nabila yang pada awalnya memilih untuk bernikah secara atas talian dengan berada di rumah masing-masing, namun si suami ambil keputusan pergi ke rumah si isteri seorang diri dengan memandu kereta dalam keadaan hujan selepas majlis pernikahan.

Kehidupan

Banyak lagi babak yang melengkapkan dan mewarna-warnikan isi cerita PKP dan paling mengusik jiwa apabila tular video pertemuan antara dua individu dipercayai adik dan abang di sempadan Selangor dan Perak yang dipisahkan dengan kawat berduri pada hari pertama Aidilfitri. Semuanya gara-gara rindu.

Tak kurang juga ada yang sudah merindui solat berjemaah di masjid dan surau walaupun dulu selalunya hanya melilau.

Bagi anak-anak pula jika dulunya liat bangun pagi ke sekolah, tapi sekarang sudah mula rindu mahu menghadap cikgu dan berjumpa rakan-rakan sekelas.

Rindu mahu sama-sama belajar, al maklumlah sejak PKP dikuatkuasakan bermula pada 18 Mac lalu, pelajar terpaksa belajar dalam keadaan normal baharu dengan guru masing-masing secara online.

Begitu juga si kaki malas dan ponteng kerja, sekarang sudah tidak sabar untuk masuk pejabat seperti biasa.

Bagi peminat kedai mamak, semestinya rindu untuk melepak beramai-ramai sambil menikmati roti canai dan karinya yang ‘sedap bapak’.

Hakikatnya, sedar atau tidak PKP ini telah mengajar kita erti rindu. Mana tidaknya, setelah sekian lama kita banyak terperuk di rumah, pastinya kita rindukan suasana yang dulu.

Kita nampaknya bebas, tetapi sebenarnya terkurung.

Tapi janganlah disebabkan rasa rindu, kita sanggup ‘derhaka’ kepada arahan kerajaan dan pihak berkuasa.

Janganlah disebabkan rasa rindu, ada ibu ayah terpaksa mengorek tabung membayar kompaun RM1,000.

Ingatlah bukan kita seorang saja yang rindu, tapi ramai lagi yang rindu.

Rasanya inilah juga waktunya untuk belajar erti menghargai dan kasih sayang. Hargailah apa yang kita nikmati selama ini.

Hargailah ibu dan ayah serta ahli keluarga, rakan-rakan, pekerjaan dan apa yang kita ada.

Kata orang, berada di depan mata itu benci, bila sudah tiada itu jadi rindu. Tapi jangan pula bila perang Covid-19 ini berakhir kita pula rindu waktu PKP yang dulu.

* Syamilah Zulkifli ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Melaka/Negeri Sembilan