Tun Mohd Ali mampu bawa kemakmuran rakyat

Mohd Ali melambai tangan setiba di kediamannya dari Kuala Lumpur petang tadi.
Mohd Ali melambai tangan setiba di kediamannya dari Kuala Lumpur petang tadi.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Pelantikan Yang Dipertua Negeri ketujuh, Tun Mohd Ali Rustam mampu membawa Melaka ke arah kemakmuran dan keharmonian rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, ia satu sejarah yang tercipta buat rakyat Melaka dan merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan itu sekali gus memayungi rakyat keseluruhannya.

Menurutnya, Mohd Ali mempunyai pengalaman yang luas dalam pentadbiran serta politik dan mempunyai hubungan yang sangat baik dengan rakyat sejak dulu lagi.

"Sebagai mewakili jentera kerajaan dan rakyat, beliau merakamkan setinggi-tinggi tahniah atas pelantikan Mohd Ali sebagai Yang Dipertua Negeri ketujuh.

"Saya yakin kombinasi idea dan pengalaman ini akan digabungkan bagi membangunkan Melaka," katanya ketika ditemui di luar kediaman Tun Mohd Ali Rustam di Bukit Katil di sini hari ini.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, kerajaan negeri turut berterima kasih dan amat menghargai jasa serta bakti Tun Dr Mohd Khalil Yaakob yang memimpin Melaka selama 16 tahun sebagai Yang Dipertua Negeri keenam sejak 2004.

"Apa yang diharapkan semoga Melaka dan rakyatnya akan terus maju dan makmur di bawah naungan Tun Mohd Ali," katanya.

Terdahulu, Mohd Ali yang tiba di kediamannya lebih kurang 5.20 petang disambut dengan paluan kompang dan rakyat yang mula menunggu beliau sejak jam 4 petang lagi.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ali menerima Surat Cara Pelantikan itu daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur kira-kira jam 2 petang tadi.

Al-Sultan Abdullah turut berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran Seri Maharaja Mangku Negara yang membawa gelaran Tun kepada Mohd Ali.

Mohd Ali, 71, dijadual mengangkat sumpah jawatan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka, Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh jam 10 pagi esok.