X

Kindly register in order to view this article
!

Selangor bantu penghuni terjejas tanah runtuh di Taman Kelab Ukay

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.
A
A

AMPANG - Kerajaan Selangor menyalurkan sumbangan kewangan sebanyak RM500 kepada enam keluarga yang terjejas akibat kejadian tanah runtuh di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa di sini akhir bulan lalu.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan sumbangan sebanyak RM1,000 setiap bulan selama enam bulan kepada enam keluarga berkenaan menerusi program bantuan sewa rumah.

Menurutnya, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) telah menetapkan beberapa keputusan bagi mencapai penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang melibatkan penduduk serta isu tanah runtuh di Taman Kelab Ukay.

“Antara ketetapan dipersetujui termasuk sumbangan kewangan sebanyak RM500 kepada setiap keluarga terkesan dengan bencana tanah runtuh itu yang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM3,000.

“Bantuan sewaan rumah dengan nilai keseluruhan berjumlah RM36,000 juga disediakan kepada enam keluarga berkenaan. Sebelum ini, seramai 31 penghuni menginap sementara di Hotel De Palma Ampang dengan jumlah kos tanggungan sebanyak RM15,810,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Amirudin berkata, peruntukan tambahan sebanyak RM433,800 pula disediakan bagi membolehkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaksanakan kerja-kerja kecemasan membaikpulih dan memperkukuhkan tebing runtuh anak Sungai Sering.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan membuat kajian terperinci khusus berkenaan di lokasi berkenaan berikutan berlaku beberapa kali insiden tanah runtuh di situ sejak beberapa tahun lalu.

“Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Selangor/Wilayah Persekutuan dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) akan melantik perunding untuk membuat kajian tersebut.

“Ia bagi mengenalpasti kawasan berisiko tinggi, membuat analisis dan menilai keutamaan untuk langkah-langkah mitigasi berkaitan perlindungan cerun (slope protection) secara tersusun serta berasaskan data saintifik,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan penghuni tujuh rumah di Taman Kelab Ukay, Bukit Antarabangsa di sini diarah mengosongkan kediaman masing-masing sejak 30 Mei lalu susulan kejadian tanah runtuh di belakang rumah teres dua tingkat tersebut.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 2.21 pagi.

Menurutnya, seramai 40 penghuni di tujuh rumah berkenaan diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan terdapat keretakan di bahagian belakang rumah mereka.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus