Tak semua boleh jadi kapten seperti Shukor Adan

Shukor Adan mengasak pemain Thailand, Prakit Deeprom (kanan) semasa aksi final kedua Kejuaraan AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur pada 20 Disember 2014.
Shukor Adan mengasak pemain Thailand, Prakit Deeprom (kanan) semasa aksi final kedua Kejuaraan AFF Suzuki 2014 di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur pada 20 Disember 2014.
A
A
A

Pertahanan berpengalaman, Shukor Adan, adalah bintang yang dilahirkan untuk menjadi ketua di dalam padang serta mempunyai karisma yang jarang dijumpai dalam kalangan pemain lain.

Demikian pandangan daripada rakan seangkatan Shukor, Norhafiz Zamani Misbah, yang melihat ciri-ciri kepimpinan Shukor sebagai istimewa yang menjadikan dia masih dapat meneruskan karier walaupun usianya sudah menjangkau 41 tahun.

Tambahnya, Shukor sentiasa menjadi pemain dihormati kawan dan lawan malah sentiasa bijak mengawal benteng pasukan jika beraksi selaku pemain pertahanan tengah.

“Saya dan Shukor sudah mengenali antara satu sama lain sejak di skuad Piala Presiden Negeri Sembilan pada 1998 dan bermain dalam pasukan utama pada tahun 2000 serta 2001 selepas dia berhijrah dari Melaka pada waktu itu.

“Sejak menjadi rakan sepasukan di awal karier, saya sudah dapat melihat ciri-ciri istimewa Shukor yang kekal sampai hari ini.

“Apa yang saya paling kagum dengan Shukor ialah dia ada auranya tersendiri kerana kalau berikan arahan atau berikan semangat, semua pemain mudah untuk dengar apa dia katakan.

“Semua orang boleh memegang lilitan kapten tetapi tidak semua orang boleh menjadi kapten sebenar kepada semua pemain, itulah istimewanya Shukor,” katanya.

Selepas tahun 2001 menjadi tahun terakhir mereka bersama, Norhafiz dan Shukor sekali lagi menjadi rakan sepasukan di Negeri Sembilan,10 tahun selepas itu pada musim 2011 dan 2012.

Artikel Berkaitan:

Shukor menjadi salah seorang bintang dalam Best XI Norhafiz yang disenaraikan sebagai pemain tengah di dalam formasi 3-5-2 yang menjadi pilihan bekas tonggak kebangsaan berkenaan.

Mohd Syamsuri Mustafa diletakkan sebagai penjaga gol pilihan sementara tiga pemain pertahanan ialah Khairil Zainal, Khairul Anuar Baharom dan B Rajinikandh.

Selain Shukor yang bertindak sebagai sebagai pemain tengah bertahan, Azrul Amri Burhan dan Gus Cerro turut menjadi pilihan Norhafiz manakala Rosdi Talib di bahagian kiri sementara Indra Putra Mahayuddin diletakkan bahagian kanan.

Bekas penyerang Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan, Azman Adnan serta penyerang PJ City, Safee Sali melengkapkan senarai Best XI Norhafiz.

Seorang lagi pemain yang turut meraih perhatian Norhafiz ialah Azrul Amri Burhan yang pernah beraksi bersamanya pada musim 2003 dan 2004.

“Azrul adalah salah seorang pemain yang mempunyai keupayaan teknikal begitu mengagumkan, di mana salah seorang pemain tengah paling kreatif sewaktu di puncak kariernya.

“Ketepatan hantaran jauh serta pendek Azrul begitu tinggi dan jarang sekali dia gagal melakukan hantaran yang tidak tepat kepada rakan sepasukan.

“Jika tidak kerana masalah kecederaan yang membataskan kariernya, saya rasa dia boleh mara lebih jauh namun dia tetap antara pemain tengah yang saya suka sepanjang saya bermain dalam bola sepak,” katanya.