Pergerakan tanah masih aktif, pemasangan kanvas diperluas

Kontraktor yang menjalankan soil test bagi mengesan aliran air bawah tanah.
Kontraktor yang menjalankan soil test bagi mengesan aliran air bawah tanah.
A
A
A

HULU KELANG - Pemasangan kanvas pada kawasan runtuhan di Jalan Kelab Ukay 4 Bukit Antarabangsa di sini diperluaskan ke unit rumah penduduk bagi mengurangkan pergerakan tanah susulan kekerapan hujan kebelakangan ini.

Kontraktor yang ditemui di tapak itu hari ini memaklumkan pemasangan itu bagi mengurangkan risiko runtuhan kali kedua susulan terdapat penduduk mendakwa pergerakan tanah di kawasan itu masih aktif.

"Pada hari pertama kejadian kami telah tutup kawasan runtuhan dan hari ini dalam kawasan tujuh rumah terlibat.

"Buat masa ini kami diarahkan untuk memasang tambahan kanvas sahaja dan masih menunggu arahan lanjut dari Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ)," katanya sewaktu tinjauan Sinar Harian di hari kelima di sini, semalam.

Sementara itu, seorang penduduk, Norasiah Mohd Noor,40, memaklumkan yang keadaan rekahan di rumahnya semakin teruk dari hari ke hari.

Norasiah menunjukkan keadaan tembok dibina unit sebelah yang dijadikan pusat mengaji semakin condong dan menunggu masa untuk runtuh.
Norasiah menunjukkan keadaan tembok dibina unit sebelah yang dijadikan pusat mengaji semakin condong dan menunggu masa untuk runtuh.

"Rekahan tanah nampak makin besar. Saya tak ukur, tapi memang nampak perubahannya kerana hari-hari pulang ke rumah untuk mengambil barang.

"Contohnya bawah lantai dapur dah mula nampak tanah menda. Rekahan tembok unit sebelah juga nampak semakin besar, saya bimbang jika runtuh akan memberikan kesan di rumah saya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerja di tapak dijalankan setiap hari dan yakin pembaikan itu mampu disiapkan dalam tempoh enam bulan.

"Alhamdulillah setiap aduan penduduk diambil tindakan segera. Dari aspek kebajikan kami memang dipantau dan dijangka pertemuan bersama MPAJ akan diadakan esok.

"Setakat ini seramai lima keluarga masih tinggal di Hotel De Palma Ampang sehingga Sabtu ini sebelum masuk ke rumah sewa," katanya.

Mengulas berhubung kadar sewa katanya, penduduk belum dimaklumkan berhubung perkara itu namun berharap kos yang ditanggung oleh kerajaan negeri itu mengikut kadar semasa

"Saya tak kisah jumlahnya cuma kalau boleh mahu menyewa di rumah yang sudah 'fully furnished' tak perlu nak angkut barang untuk duduk selama enam bulan.

Norasiah menunjukkan kanvas dipasang di belakang rumahnya bagi mengurangkan kesan pergerakan tanah susulan kekerapan hujan kebelakangan ini.
Norasiah menunjukkan kanvas dipasang di belakang rumahnya bagi mengurangkan kesan pergerakan tanah susulan kekerapan hujan kebelakangan ini.

"Jika ikut kadar rumah di sini anggaran sewa adalah RM1,800 untuk rumah kosong dan RM2 500 jika berserta kelengkapan. Saya memang cari rumah berdekatan sini bagi mudahkan saya pantau keadaan rumah sepanjang projek pembaikan dilakukan," katanya.

Sabtu lalu, tujuh rumah melibatkan 40 penduduk diarah mengosongkan kediaman masing-masing susulan runtuhan tebing di Jalan Kelab Ukay 4 sekitar jam 2 pagi.

Susulan itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi kerja pengukuhan cerun dan pembinaan tembok penahan di kawasan tersebut yang dijangka projek berlangsung selama enam bulan.